Sunview catat untung bersih RM5.8 juta bagi 3QFY23 didorong pengiktirafan hasil lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Sunview catat untung bersih RM5.8 juta bagi 3QFY23 didorong pengiktirafan hasil lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - Sunview Group Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.8 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022 (3QFY23) didorong oleh peningkatan hasil sebanyak 22.8% kepada RM96.9 juta bagi suku sama.

 

Keuntungan yang dicatatkan itu juga adalah 80% lebih tinggi berbanding 2QFY23 iaitu RM3.2 juta.

 

Peningkatan pendapatan itu didorong oleh pengiktirafan hasil daripada perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek solar skala besar.

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (9MFY23), kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil sebanyak RM108.9% kepada RM207.4 juta berbanding hasil setahun penuh FY22 sebanyak RM99.3 juta.

 

Keuntungan bersih bagi tempoh itu juga meningkat 30.7% kepada RM11.6 juta berbanding untung bersih yang dicatatkan pada FY22.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, pihaknya berbesar hati mengumumkan keputusan yang baik untuk suku tahun berkenaan.

 

Katanya, berdasarkan prestasi cemerlang sepanjang sembilan bula lalu, pihaknya berjaya mengatasi keputusan bagi tahun kewangan sebelumnya dan mereka akan terus melaksanakan tempahan projek bernilai RM687.3 juta yang akan memberikan keterlihatan pendapatan untuk dua tahun berikutnya.

 

"Prospek perniagaan kumpulan itu kekal stabil. Sebagai tambahan, kami telah menyertai industri biogas menerusi pengambilalihan Provectus Bioenergy Sdn. Bhd. baru-baru ini.

 

"Pemerolehan itu selaras dengan rancangan pertumbuhan kami seperti yang didedahkan dalam prospektus tawaran awam permulaan kami untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan besar industri biotenaga," katanya. - DagangNews.com