Sunway City Iskandar Puteri, Handal Indah bekerjasama tingkatkan kesalinghubungan Johor-Singapura | DagangNews Skip to main content

Sunway City Iskandar Puteri, Handal Indah bekerjasama tingkatkan kesalinghubungan Johor-Singapura

(Kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay memegang perjanjian yang ditandatangani dengan Timbalan Pengarah Eksekutif Handal Indah Sdn Bhd, Lim Chern Fang (kanan) menandakan perkongsian lima tahun.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) memterai strategik selama lima tahun dengan Handal Indah Sdn Bhd (Causeway Link) bagi meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan antara Johor dan Singapura. 

 

Perkongsian itu dimeterai semasa ulang tahun SCIP yang ke-10 yang menyaksikan pelaburan SCIP bagi memperluaskan perkhidmatan bas Causeway Link 'CW7L' di Sunway Big Box dan Sunway GRID. 

 

SCIP berkata, sambungan perkhidmatan itu  menyediakan akses terus kepada Jambatan Second Link yang akan mempermudahkan perjalanan dan mengurangkan masa perjalanan.

 

“Jarak dari SCIP ke Singapura hanyalah 5 kilometer, dengan masa perjalanan lebih kurang 10 minit dalam keadaan trafik biasa. 

 

“Oleh itu, selain daripada meningkatkan kesalinghubungan serantau, inisiatif ini juga meningkatkan kualiti hidup bagi kedua-dua komuniti,” ulasnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SCIP, Gerard Soosay mengulas tentang permintaan penghubung ke Singapura yang semakin meningkat yang mendorong kebangkitan semula dalam aktiviti rentas sempadan. 

 

“Dengan memperluaskan perkhidmatan bas Causeway Link ke Sunway City Iskandar Puteri, kami bukan sahaja memudahkan kehidupan penduduk dan komuniti bekerja kami tetapi juga mengukuhkan hubungan antara dua komuniti supaya hubungan Johor-Singapura terus berkembang maju,” kata Gerard. 

 

Di samping itu, SCIP berkata, perkhidmatan bas CW7L menyaksikan peningkatan dua kali ganda jumlah penumpang berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

 

“Selain daripada pengukuhan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura, inisiatif ini sejajar dengan objektif inisiatif kerajaan seperti Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Sistem Transit Pantas (RTS).

 

“Selain itu, ia juga sejajar dengan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menunjukkan komitmen SCIP untuk membina pembangunan yang inklusif, selamat dan lestari,”  jelas SCIP. 

 

Timbalan Pengarah Eksekutif Handal Indah, Lim Chern Fang turut berkata, perkhidmatan itu membuktikan matlamatnya menyediakan rumusan perjalanan yang memenuhi keperluan penumpang. 

 

Melalui perkongsian itu, perkhidmatan bas CW7L itu akan beroperasi dengan cekap di laluan baharu, dengan tambang dan jadual terkini yang tersedia melalui aplikasi LUGO menawarkan pengalaman perjalanan lancar, tanpa sebarang kerumitan.

 

Bagi meraikan perluasan perkhidmatan ini dan ulang tahun ke-10 SCIP, kad edisi terhad ManjaLink x SCIP akan tersedia untuk pembelian dalam masa terdekat.- DagangNews.com