Sunway Construction berpotensi raih kontrak RM6 bilion daripada loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction berpotensi raih kontrak RM6 bilion daripada loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Sunway Construction Group Bhd berpotensi meraih kontrak bernilai RM6 bilion daripada loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam menjelang Disember tahun ini, menurut CGS-CIMB Securities.

 

CGS-CIMB berkata demikian susulan tiga kontrak bernilai RM532 juta yang dimenangi kumpulan itu semalam, yang telah menjadikan kontrak dimenangi Sunway Construction setakat tahun ini berjumlah RM2.2 bilion.

 

Jelasnya, jumlah tersebut melebihi sasaran RM2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan mendorong buku pesanan tertunggaknya kepada RM6.4 bilion.

 

Tiga kontrak baharu itu melibatkan pembinaan gudang Pusat Pengedaran Daiso Global di Pelabuhan Klang bernilai RM297 juta, diikuti projek pusat data di Johor (RM190 juta) dan kontrak awal untuk loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam melanjutkan tempoh notis untuk meneruskan (NTP) (RM45 juta).

 

“Ini sebahagian besarnya mengikut ramalan kami terhadap kemenangan tempahan baharu FY23 sebanyak RM2.2 bilion (termasuk pratuang).

 

“Lebih penting lagi, kami percaya kerja-kerja akses terhad sebanyak AS$9.5 juta (kira-kira RM45 juta) untuk loji janakuasa Song Hau 2 Vietnam membuka jalan untuk kerja-kerja tambahan bernilai RM6 bilion untuk projek ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelasnya, keyakinan tersebut adalah dengan andaian bahawa syarikat usaha sama kumpulan Sunway-PECC2 Consortium memperoleh sepenuhnya projek loji janakuasa Vietnam bernilai AS$2.4 bilion, di mana 55% pegangannya bernilai RM6 bilion.

 

Di sampong itu, CGS-CIMB positif dengan kemenangan ini memandangkan firma itu percaya kontrak baharu membuktikan bahawa Sunway Construction telah berjaya mengembangkan projek pembinaannya kepada gudang perindustrian, pusat data dan ruang kilang semikonduktor, serta kurang bergantung pada projek bangunan tradisional.

 

Pada FY22, Sunway Construction telah meraih projek perindustrian bernilai RM1.7 bilion untuk membina pusat data di Sedenak Tech Park, Johor, yang merupakan projek terbesarnya yang diraih pada tahun itu.

 

Firma itu mengulangi saranan ‘tambah’ dan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham/

 

“Kami menyukai Sunway Construction kerana rekod prestasinya yang kukuh, projek tersedia daripada Sunway Bhd (tambah, CP: RM1.90), kekuatan kunci kira-kira dan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kumpulan yang meneraju pasaran sebanyak 18% hingga 20% dan hasil dividen yang lumayan sebanyak 3% hingga 4% untuk FY23-FY24,” tambahnya.

 

Pada pukul 9:59 pagi ini, saham Sunway Construction menokok 3 sen atau 1.6% kepada RM1.94 dengan permodalan pasaran kumpulan berjumlah RM2.5 bilion.  - DagangNews.com