Sunway Construction peroleh projek pusat beli-belah RM721 juta di Perak | DagangNews Skip to main content

Sunway Construction peroleh projek pusat beli-belah RM721 juta di Perak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Sunway Construction Group Bhd (SunCon) telah memperoleh projek pusat beli-belah bernilai RM720.99 juta di Kinta, Perak, dalam transaksi pihak berkaitan.

 

Kumpulan itu berkata anak syarikatnya, Sunway Construction Sdn Bhd, menerima kontrak daripada anak syarikat tidak langsung Sunway Bhd, Sunway Lost World Water Park Sdn Bhd melibatkan kerja tanah dan bangunan utama pembangunan komersial yang terdiri daripada kompleks beli-belah enam tingkat, pawagam dan kedai-kedai.

 

Menurut makluman SunCon kepada Bursa Malaysia, projek berkenaan akan bermula pada 1 Mac dan dijangka siap pada 31 Januari 2027.

 

Projek baharu ini meningkatkan jumlah projek diperolehnya tahun ini kepada RM831 juta.

 

Kumpulan itu berkata projek itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan SunCon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) dan seterusnya. 

 

SunCon menyatakan bahawa pengarah dan pemegang saham utamanya, Evan Cheah Yean Shin juga merupakan pengarah beberapa anak syarikat dan pemegang saham utama Sunway.

 

Beliau mempunyai kepentingan langsung sebanyak 0.001% dan kepentingan tidak langsung sebanyak 66.04% dalam SunCon. 

 

Di Sunway, beliau memegang 0.09% kepentingan langsung dan 64.72% kepentingan tidak langsung. Beliau adalah anak kepada Tan Sri Jeffrey Cheah, pengasas Sunway.

 

Bagi FY23, keuntungan bersih kumpulan meningkat 7.34% kepada RM145 juta daripada RM135 juta setahun sebelumnya, manakala pendapatan melonjak 24% kepada RM2.67 bilion daripada RM2.16 bilion.

 

Saham SunCon dibuka tinggi 3 sen atau 1.2% kepada RM2.64 pagi ini dengan permodalan pasarannya bernilai RM3.4 bilion. - DagangNews.com