KUALA LUMPUR 5 Nov - Sunway Bhd. memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan Greenwood Capital Pte Ltd, Singapura memiliki tidak lebih daripada 27.5% pegangan dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Sunway berkata, kelulusan bagi pemilikan ekuiti asing itu diberikan bersempena dengan Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS).
Oleh itu, katanya, Sunway Healthcare perlu mematuhi salah satu keperluan di bawah AFAS, iaitu tiada klinik pesakit luar dibenarkan untuk perkhidmatan hospital swasta.
"Kelulusan KKM ini akan terus berkuat kuasa selagi tiada perubahan kepada butiran dan syarat yang dinyatakan di atas.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan pada butiran dan syarat seperti yang dinyatakan, Sunway Healthcare perlu mendapatkan kelulusan baharu daripada KKM,” katanya.
Baca : Dana pelaburan Singapura labur RM750 juta dalam Sunway Healthcare
Baca : Pelaburan GIC bukti keyakinan terhadap ekonomi negara dan Sunway - PM
Pada 23 Jun lalu, Sunway Healthcare mengumumkan menerima pelaburan sebanyak RM750 juta daripada Greenwood, syarikat sekutu dana kekayaan Singapura, GIC Pte Ltd.
Pelaburan yang dicadangkan itu melibatkan perjanjian langganan saham untuk memperoleh 100 juta saham biasa dalam Sunway Healthcare, 10 juta saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus dalam Sunway Healthcare dan satu saham kumulatif keutamaan boleh tukar dividen tidak boleh tebus dalam Sunway Healthcare oleh Greenwood dengan nilai RM750 juta dalam bentuk tunai.
Pemilikan saham secara kolektif berkenaan membolehkan syarikat Singapura itu memperoleh 16% kepentingan ekuiti dalam Sunway Healthcare.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, perjanjian itu secara tidak langsung meningkatkan nilai Sunway Healthcare mencecah hampir RM4.69 bilion.
Ia dicapai berdasarkan kesediaan pembeli - penjual setelah memperoleh penilaian cadangan daripada pelbagai dana pelaburan di peringkat domestik dan antarabangsa, dana kekayaan berdaulat dan firma ekuiti swasta. - DagangNews.com