Sunway-Hoi Hup menang bidaan Flynn Park dengan tawaran hampir RM1.15 bilion | DagangNews Skip to main content

Sunway-Hoi Hup menang bidaan Flynn Park dengan tawaran hampir RM1.15 bilion

Tender bagi projek pembangunan semula Flynn Park di Jalan Yew Siang, Pasir Panjang, Singapura dikeluarkan pada akhir Julai lalu.
 


 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Sunway Bhd., menerusi usaha samanya dengan pemaju Singapura, Hoi Hup Realty memenangi bidaan yang kompetitif bagi pengambilalihan en-bloc pembangunan kondominium Flynn Park melibatkan tawaran bernilai SGD371 juta (RM1.15 bilion) pada 9 September lalu.

 

Tender bagi projek pembangunan Flynn Park di Jalan Yew Siang, Pasir Panjang, Singapura itu yang merupakan blok kondominium dengan 72 unit dibina pada 1986 dibuka pada akhir Julai lalu. 

 

Ia terletak di kawasan pegangan bebas seluas 4.79 ekar dan hanya 350 meter dari stesen MRT Pasir Panjang. 

 

Selain itu, pembangunan ini dikelilingi mercu tanda seperti Medan Selera Pasir Panjang, Mapletree Business City, VivoCity dan Pulau Sentosa.

 

Di bawah Pelan Induk Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura 2019, kawasan itu berada dalam zon 'kediaman' dengan nisbah plot 1.4. 

 

Sunway Property berkata, pihaknya dan Hoi Hup berhasrat untuk membangunkan semula kawasan itu kepada kondominium moden persendirian dengan memanfaatkan kedudukannya di lereng bukit, di pinggir pusat bandar dan bersebelahan dengan pengangkutan awam serta berhampiran taman semulajadi Kent Ridge. 

 

"Urus niaga ini dilaksanakan oleh Savills Singapore sebagai tapak jualan kolektif atau en-bloc terbesar di Singapura pada tahun ini. 

 

"Jualan kolektif di Singapura semakin meningkat berikutan pemulihan dalam pasaran hartanah di negara berkenaan," katanya.  

 

Antara projek yang dibangunkan Sunway Property di Singapura ketika ini termasuklah Ki Residence, kondominium persendirian di Clementi dan Parc Central, kondominium eksekutif di Tampines yang berjalan dengan baik sejak ia dilancarkan. 

 

Kadar ambilan bagi projek Ki Residence dan Parc Central ini masing-masing mencapai 60% dan 85%. 

 

Menurut Sunway Property, dengan pengambialihan terbaharu Flynn Park, bank tanahnya kini adalah seluas 3,339 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM54.4 bilion. - DagangNews.com