Sunway meterai MoU bina bandar pintar di Kuching, bangun semula Bukit Assek | DagangNews Skip to main content

Sunway meterai MoU bina bandar pintar di Kuching, bangun semula Bukit Assek

Pemeteraian MoU tersebut telah disaksikan oleh Abang Johari (lapan kanan) di Royal Perak Golf Club. - Gambar UKAS
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Sunway Group Property Development telah menandatangani dua memoradum persefahaman (MoU) bagi membangunkan bandar pintar, Digital Medical Village Development di Kuching dan pembangunan semula Bukit Assek.

 

Syarikat itu telah memeterai kedua-dua MoU tersebut dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Yayasan Sarawak, menurut kenyataan media Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

 

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan komitmen Sunway terhadap pembangunan hartanah moden dan inovatif di Sarawak tetapi juga merangka projek transformatif secara berperingkat yang akan membentuk semula landskap rantau ini,” kata Sunway dalam kenyataan tersebut.

 

MoU pertama ditandatangani di antara Sunway dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarawak berhubung transformasi 48 hektar tanah di Kuching untuk dijadikan Digital Medical Village Development yang canggih.

 

"Ini untuk mengkaji cadangan pelan induk perbandaran moden bersepadu pintar, kajian kebolehlaksanaan dan inovasi reka bentuk,” katanya.

 

Sunway dan Yayasan Sarawak juga akan bersama-sama meneroka model perniagaan Sunway iaitu ‘bina, milik, urus’.

 

Seterusnya, MoU yang kedua ditandatangani syarikat itu dengan LCDA adalah berhubung pembangunan semula kawasan pembaharuan bandar seluas 201 hektar di Bukit Assek, Sibu.

 

Melalui kolobrasi ini, Sunway mengambil inisiatif pembaharuan bandar diinspirasikan daripada transformasi yang memenangi anugerah iaitu Sunway City Kuala Lumpur.

 

Sebagai kolaborator eksklusif untuk projek ini, Sunway akan bekerjasama dengan LCDA untuk menghidupkan visi ini dengan meneroka pelan induk bandar moden bersepadu, reka bentuk dan kebolehlaksanaannya.

 

Pemeteraian MoU tersebut turut disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersempena majlis perasmian High Performance Team (HPT) Retreat 2023 di Royal Perak Golf Club pada Khamis lalu.

 

Yayasan Sarawak diwakili oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah, Mersal Abang Rosli dan Mohammad Adzlie Ibrahim.

 

Sementara itu, LCDA diwakili Datu Monaliza Zaidel, manakala Sunway diwakili Sarena Cheah dan Chung Soo Kiong.  - DagangNews.com