Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM129.3 juta pada 2QFY24 didorong lonjakan dalam segmen runcit, perhotelan | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM129.3 juta pada 2QFY24 didorong lonjakan dalam segmen runcit, perhotelan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pendapatan hartanah bersih (NPI) Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat 11% kepada RM129.3 juta berbanding RM116.2 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong prestasi cemerlang segmen runcit dan perhotelan.

 

Pendapatannya pada suku dalam tinjauan turut meningkat 6% kepada RM175.6 juta berbanding RM166.5 juta setahun lalu.

 

Pada suku berkenaan, segmen runcit mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat 12% kepada RM123.7 juta, daripada RM110.9 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

"Sejajar dengan itu, NPI segmen Runcit melonjak sebanyak 24% kepada RM86.2 juta, daripada RM69.5 juta pada 2QFY23 disebabkan sumbangan sewa baharu daripada enam pasar raya besar yang baru diambil alih bermula 30 April 2024.

 

"Trajektori positif segmen runcit dijangka berterusan pada suku akan datang, disokong oleh jangkaan penyiapan inisiatif peningkatan aset (AEI) untuk bahagian Oasis Sunway Pyramid Mall pada 4QFY24 dan pendapatan sewa yang berterusan daripada enam pasar raya besar, yang berada di bawah aturan pajakan induk tiga kali ganda," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, hasil daripada segmen perhotelan meningkat 10% kepada RM19.2 juta pada 2QFY24, daripada RM17.5 juta pada 2QFY23, disokong oleh kadar penghunian purata yang bertambah baik sebanyak 62% pada separuh pertama 2024 berbanding 60% pada tahun sebelumnya.

 

Sejajar dengan itu, NPI meningkat 12% kepada RM18.5 juta pada 2QFY24, daripada RM16.5 juta pada 2QFY23 didorong oleh kehadiran semula pelancong asing di seluruh negara dengan Hotel Sunway Putra, Hotel Sunway Seberang Jaya dan kehadiran pelancong asing di Sunway Hotel Georgetown mencapai tahap pra pandemik.

 

"Tambahan pula, prestasi yang sihat disokong oleh peningkatan keseluruhan dalam aliran masuk pelancong domestik dan percutian, pemulihan yang stabil dalam perniagaan antarabangsa yang disokong oleh ketersambungan penerbangan yang lebih baik selain permintaan yang berterusan untuk aktiviti Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE)," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Clement Chen, berkata prestasi cemerlang itu disokong momentum pertumbuhan kukuh dalam segmen runcit, didorong oleh kedua-dua inisiatif pertumbuhan organik dan bukan organik.

 

Katanya, pertumbuhan organik disokong pengembalian sewa daripada penyewa sedia ada dan dijangka akan diperkuatkan lagi apabila AEI yang sedang berjalan disiapkan di Sunway Pyramid Mall dan Sunway Carnival Mall.

 

"Meneruskan strategi kami untuk meneruskan lebih banyak pengambilalihan, kami baru-baru ini mengumumkan cadangan pengambilalihan Kluang Mall di Johor pada harga RM158 juta yang kami harap dapat diselesaikan menjelang 4QFY24 dan seterusnya menambah NPI kami untuk tahun kewangan semasa.

 

"Memandang ke hadapan, Sunway REIT akan terus mengenal pasti dan memperoleh hartanah secara proaktif yang sejajar dengan kriteria pelaburannya dan menjana hasil yang menarik," katanya. - DagangNews.com