Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM136.8 juta bagi 3QFY23 didorong lonjakan dalam segmen perhotelan | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT catat pendapatan hartanah bersih RM136.8 juta bagi 3QFY23 didorong lonjakan dalam segmen perhotelan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Pendapatan hartanah bersih (NPI) Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) meningkat 7% kepada RM136.8 juta berbanding RM128.2 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong terutamanya segmen perhotelan.

 

Pendapatannya pada suku dalam tinjauan turut meningkat 6% kepada RM175.8 juta berbanding RM166.2 juta setahun lalu.

 

Sunway REIT berkata, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan kukuh dalam pendapatan segmen hotel dan NPI, dirangsang oleh perniagaan riadah domestik dan antarabangsa serta inventori bilik penuh di Sunway Resort Hotel sejak Julai 2023.

 

Semua segmen mencatatkan hasil dan NPI yang lebih tinggi kecuali segmen perkhidmatan disebabkan oleh pelupusan Pusat Perubatan Sunway (Menara A & B) yang siap pada Ogos 2023.

 

Segmen hotel mencatatkan pertumbuhan luar biasa pada 3QFY23 seperti yang dibuktikan oleh kadar penghunian purata segmen yang meningkat daripada 54% bagi 3QFY22 kepada 63% bagi 3QFY23.

 

Kadar purata penghunian bilik mencatatkan peningkatan yang sihat dalam tempoh yang sama, sejajar dengan peningkatan penghunian.

 

"Pendapatan segmen hotel melonjak 51% kepada RM27.9 juta pada 3QFY23 berbanding RM18.4 juta pada 3QFY22," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sunway REIT berkata, segmen runcit melaporkan pertumbuhan sederhana dalam hasil dan NPI pada 3QFY23 masing-masing meningkat kepada RM111.8 juta dan RM81.8 juta, berbanding RM110.3 juta dan RM80.5 juta masing-masing pada 3QFY22.

 

"Pertumbuhan berdaya tahan itu didorong oleh jualan runcit yang mampan dan diperkukuh lagi oleh prestasi Sunway Carnival Mall berikutan asas yang rendah pada tahun sebelumnya sebelum pelancaran sayap baharunya pada Jun 2022," katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Clement Chen berkata, pihaknya gembira dengan pemulihan berterusan dalam segmen hotel dan berbesar hati untuk meraih manfaat daripada transformasi Sunway Resort Hotel.

 

"Kami yakin tawaran baharu di Sunway Resort Hotel akan menarik lebih ramai pelanggan dan mengembangkan bahagian pasarannya," katanya.

 

Walaupun prestasi segmen hotel masih belum kembali sepenuhnya ke tahap sebelum wabak, beliau optimis ia akan meneruskan trajektori pertumbuhan yang kukuh pada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com