Sunway University umum penubuhan Pusat Sunway Bagi Kesihatan Planet | DagangNews Skip to main content

Sunway University umum penubuhan Pusat Sunway Bagi Kesihatan Planet

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. -  Sunway University mengumumkan penubuhan penubuhan Pusat Sunway Bagi Kesihatan Planet yang akan menjadi perintis pelaksanaan pendekatan kesihatan planet bagi menangani punca dan kesan perubahan alam sekitar dan kesihatan manusia di Malaysia.

 

Chanselor Yayasan bagi Sunway University Tan Sri Dato’ Seri Dr Jeffrey Cheah berkata, pusat berkenaan bermatlamat menyediakan ruang untuk berkongsi pengetahuan mengenai kesihatan planet, menterjemah syarahan akademik kepada maklumat yang mudah diperoleh, mempermudah pembelajaran dan mencipta penyelesaian bersama dengan pemegang kepentingan bagi memberi kesan berpanjangan ke atas perubahan bersistem.

 

"Menerusi pusat baharu ini, Sunway University akan menyumbang kepada kemajuan kesihatan planet menerusi pendidikan, penyelidikan, menjadikan pengetahuan mudah diakses kepada sesiapa, dan berhubung dengan orang di seluruh rantau Asia dan Pasifik, dan membawa pengetahuan dan kepakaran kami kepada dunia’," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam beberapa tahun ini, Sunway University juga telah meneguhkan komitmennya untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menerusi Jeffrey Sachs Center for Sustainable Development, yang dilancarkan pada 2016. 

 

Cheah berkata, penubuhan pusat baharu ini akan meneruskan peranannya hasil daripada usaha berterusan Universiti, meluaskan misinya melangkaui 2030 dan merangkumkan cabaran-cabaran planet yang mendesak demi kesihatan manusia dan alam sekitar. 

 

Dalam pada itu Cheah turut mengumumkan pelantikan Pakar Kanan Kesihatan dan Kemanusiaan Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Sunway Bagi Kesihatan Planet tersebut.

 

Mengulas mengenai pelantikannya, Jemilah berkata, pusat tersebut akan menggunakan kepelbagaian kapasiti fakulti sedia ada yang dimiliki Sunway University dan rangkaian-rangkaiannya serta membina hubungan baharu dengan rakan-rakan dari rantau ini dan seluruh dunia.

 

"Pada fasa pelancarannya, Pusat ini akan menumpukan kepada rantau Asia dan Pasifik; rantau yang paling terdedah kepada impak perubahan iklim dan cabaran-cabaran lain kesihatan planet.

 

"Kita juga akan berhubung dengan kerajaan dan institusi di Malaysia supaya pendekatan kesihatan planet boleh menyokong pencegahan pandemik seterusnya, membantu menangani krisis iklim, dan menyumbang kepada Wawasan Perkongsian Kemakmuran 2030 dan kemampanan ekonomi." katanya. -DagangNews.com