Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Okt. - Saham Supermax Corp. Bhd. susut hampir 9% dalam dagangan pagi ini selepas Amerika Syarikat (AS) menyekat produk sarung tangan getahnya susulan dakwaan penggunaan buruh paksa.
Setakat 11.22 pagi ini, harga sahamnya susut 20 sen atau 8.89% kepada RM2.05 dengan 53.23 juta saham diniagakan.
Dalam kenyataan pada Rabu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) mengeluarkan perintah tahan pelepasan (WRO) terhadap Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya berdasarkan maklumat yang secara munasabah mengenai dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi pengeluaran.
CBP berkata, pihaknya mengenal pasti 10 indikator Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) terhadap penggunaan buruh paksa ketika menjalankan siasatan.
Pemangku Pesuruhjaya CBP, Troy Miller berkata, WRO yang dikeluarkan itu dapat membantu melindungi pekerja yang terjejas.
"CBP adalah peneraju global dalam penguatkuasaan buruh paksa dan kami akan terus mengecualikan produk yang dihasilkan oleh perhambaan moden daripada memasuki AS," katanya dalam kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan CBP, AnnMarie R. Highsmith berkata, 10 daripada 11 petunjuk buruh paksa yang dikenalpasti semasa siasatan dijalankan, CBP mempunyai banyak bukti untuk menyimpulkan bahawa Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya menghasilkan sarung tangan getah yang melanggar undang-undang perdagangan AS.
"Sehingga Supermax Corp. dan anak-anak syarikatnya dapat membuktikan proses pengeluarannya bebas daripada penggunaan buruh paksa, produk mereka tidak akan diterima di sini," tegas beliau.
Supermax Corp. adalah syarikat keempat Malaysia yang berdepan larangan tersebut sejak 15 bulan lalu.
Sebelum ini, sekatan yang sama menimpa FGV Holdings Bhd., Sime Darby Plantation Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd.
Bagaimanapun, Top Glove kemudiannya dibenarkan mengeksport semula sarung tangan getahnya ke AS, berikutan pengubahsuaian penemuan oleh CBP berkuat kuasa 10 September lalu.- DagangNews.com