Supermax laksana dasar pengurusan pekerja asing yang komprehensif | DagangNews Skip to main content

Supermax laksana dasar pengurusan pekerja asing yang komprehensif

KUALA LUMPUR 8 Feb - Supermax Corporation Bhd. melaksanakan dasar pengurusan pekerja asing yang baharu dan komprehensif bagi mengukuhkan lagi pengurusan sumber manusia dan dasar tenaga buruh. 

 

Menurut syarikat pengeluar sarung tangan getah itu, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan dasar baharu itu, kumpulan kini memperluaskan skop bayaran balik dengan memasukkan bekas pekerja kontrak dan yang diambil secara langsung yang telah meninggalkan syarikat sebelum 1 Oktober 2019.

 

Katanya, inisiatif baharu dan kriteria kelayakan yang disemak semula itu telah dipersetujui setelah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada firma perunding antarabangsa dan juga menerusi sesi libat urus dan dialog bersama pakar hak asasi pekerja migran, Andy Hall.

 

"Supermax juga melantik firma perunding antarabangsa untuk meneruskan penilaian dan memberikan nasihat mengenai bayaran kepada semua pekerja dan bekas pekerja, termasuk menjejaki pekerja yang sudah pulang ke negara masing-masing. 

 

"Kumpulan komited untuk memastikan semua bekas pekerja menerima bayaran balik termasuk mereka yang berada dalam skop yang diperluaskan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Dalam usaha untuk memastikan semua bekas pekerja yang layak menerima bayaran balik mereka, notis akan dikeluarkan di surat khabar mengikut negara asal mereka dan aktiviti jangkauan akan dilaksanakan selama 6 bulan mulai 6 Februari sehingga Julai 2022 untuk mencari seberapa ramai pekerja yang boleh.

 

Malah, Supermax turut menubuhkan dana bagi memastikan kumpulan dapat membayar semua bekas pekerja dan pekerja lain yang layak menurut kriteria kelayakan bayaran balik yang sudah disemak semula.

 

Dana ini wajar disemak semula apabila ia semakin berkurangan dan akan ditadbir oleh jawatankuasa penasihat terdiri daripada pengurusan, perunding dan Andy Hall.

 

Supermax berkata, ia juga melaksanakan bayaran 'ex-gratia' sekali berjumlah RM5,000 kepada semua pekerja dan akan menambah elemen faedah seterusnya ke atas jumlah yuran berkaitan pengambilan pekerja dan kos yang dibayar oleh pekerja.

 

"Kami dengan sukacitanya mengumumkan pembayaran ini sudah diselesaikan kepada pekerja sedia ada pada 7 Februari 2022. 

 

"Bekas pekerja juga akan menerima pembayaran yang sama bermula Februari hingga Julai 2022," jelasnya.

 

Setakat ini, Supermax sudah membuat pembayaran balik sebanyak RM25.67 juta merangkumi yuran pengambilan pekerja, ex-gratia dan kos lain berkaitan pekerja.

 

Secara dasarnya, kumpulan sentiasa berusaha untuk meningkatkan amalan tenaga buruhnya sejajar dengan piawaian Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO). - DagangNews.com