Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Jan - Supermax Corporation Bhd. telah melancarkan Dasar Pengurusan Pekerja Asing yang komprehensif dan baharu serta menambah baik Dasar Sumber Manusia sedia ada, yang dijangka mempercepatkan proses dalam memenuhi piawaian Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).
Dasar tersebut telah berkuat kuasa sejak November 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat pengeluar sarung tangan getah itu ketika ini dalam proses mengemaskini pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) tentang penambahbaikan yang dibuat di bawah dasar baharu tersebut.
"Keberkesanan dan pelaksanaan dasar ini akan dijalankan pemeriksaan oleh audit berterusan yang berbeza dengan sekurang-kurangnya 2 proses pengauditan, dan 2 juruaudit tambahan yang berpangkalan di AS yang akan menjalankan analisis dan pemantauan terhadap ILO 11 Petunjuk Buruh Paksa," jelasnya.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah, memperkukuhkan kumpulan sumber manusia dan membina kapasiti dalaman dalam kalangan pengurusan dan penyelia mengenai pencegahan buruh paksa dan pendidikan mengenai hak pekerja.
Ia juga sedang memodenkan alat dan sistem sumber manusianya bagi membolehkan pengurusan data masa nyata serta layan diri pekerja yang akan menggalakkan ketelusan dan pemahaman yang lebih baik tentang kelayakan dan gaji di peringkat pekerja.
Bagi meningkatkan persekitaran tempat tinggal dan bekerja, kumpulan sedang membaik pulih kemudahan asrama dalam usaha menyediakan para pekerja dengan ruang peribadi mencukupi dan kemudahan riadah serta gaya hidup asrama yang lebih baik.
Kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian ini dijangka selesai pada pertengahan Februari 2022.
Sejajar pelaksanaan dasar baharu ini, Supermax juga secara proaktif meningkatkan gaji minimum kepada RM1,400 untuk semua kategori, berbanding gaji minimum semasa sebanyak RM1,200.
Langkah-langkah tersebut telah dilaksanakan pada Disember 2021 untuk semua pekerja yang diambil bekerja secara langsung di bawah Supermax dan anak syarikatnya dan akan berkuat kuasa untuk pekerja vendor di tapak bermula Januari 2022.
Pada masa sama, syarikat juga akan menangani isu penggunaan sub-kontraktor pada Januari 2022 dan hendaklah memastikan hak dan kebajikan pekerja yang diambil sub-kontraktor ini dilindungi.
Saluran membuat aduan juga akan disediakan, yang akan diuruskan oleh pihak ketiga bebas berwibawa yang akan melaporkan terus secara langsung kepada Lembaga Pengarah Supermax.
Supermax menegaskan, Lembaga Pengarah memberi jaminan bahawa syarikat komited terhadap kesejahteraan pekerja dan menghormati hak mereka pada setiap masa.
"Syarikat melihat pematuhan sebagai perkara yang serius, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan berkaitan untuk memastikan dasar baharu yang dilaksanakan memenuhi piawaian ILO," katanya.
Pada Oktober lalu, AS menyekat import daripada Supermax dan 3 anak syarikatnya iaitu Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd dan Supermax Glove Manufacturing atas dakwaan amalan buruh paksa.
Pembantu Komisioner Eksekutif CBP, AnnMarie R Highsmith menjelaskan 10 dari 11 petunjuk buruh paksa dikenal pasti dalam tempoh siasatan dan jabatan itu mempunyai bukti mensabitkan Supermax dan anak syarikatnya dengan pelanggaran udang-undang perdagangan AS. - DagangNews.com