Suruhanjaya Sekuriti beri lanjutan empat bulan bagi laporan tahunan Amanah Pelaburan Hartanah | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti beri lanjutan empat bulan bagi laporan tahunan Amanah Pelaburan Hartanah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Tarikh akhir mengeluarkan laporan tahunan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) kini dilanjutkan empat bulan selepas tamat tahun kewangan.

 

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tarikh akhir laporan tahunan REIT sebelum ini ialah dua bulan selepas tamat tahun kewangan.

 

"Pelanjutan tempoh masa ini menyelaraskan garis masa pelaporan untuk REIT tersenarai dengan syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia), yang kini menetapkan tempoh masa yang sama bagi pengeluaran laporan tahunan. 

 

"Langkah ini memastikan konsistensi kedua-dua jenis entiti, berikutan persamaan dari segi kandungan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Timbalan KSU Kementerian Kewangan, Datuk Dr Shahrazat Ahmad dilantik sebagai ahli lembaga pengarah baharu SC

 

Kata SC, walaupun garis masa dilanjutkan, pemegang unit REIT tersenarai masih akan menerima maklumat kewangan dalam tempoh dua bulan selepas tahun kewangan REIT berakhir, iaitu melalui pengumuman suku tahunannya di Bursa Malaysia.

 

"Garis Panduan Amanah Pelaburan Hartanah yang disemak dan Garis Panduan Amanah Pelaburan Hartanah boleh dirujuk di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/collective-investment-scheme,' jelasnya. - DagangNews.com