KUALA LUMPUR 6 Sept - Pembekal perkhidmatan logistik bersepadu, Swift Haulage Berhad (Swift) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Swift Integrated Logistics Sdn. Bhd. dan Swift Logistics TA Sdn. Bhd. telah disahkan status 'Authorised Economic Operator (AEO)' oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) mentakrifkan AEO sebagai pihak yang terlibat dalam pergerakan barangan antarabangsa dalam apa jua fungsi yang telah diluluskan oleh atau bagi pihak pentadbiran kastam negara sebagai mematuhi WCO atau yang setara piawaian keselamatan rantaian bekalan.
AEO ialah konsep yang diperkenalkan oleh SAFE Framework of Standard merujuk kepada pengendali yang terlibat dalam pergerakan barangan sepanjang perdagangan antarabangsa rantaian bekalan yang telah mencapai piawaian keselamatan diperlukan dan diakreditasi ahli negara.
Dengan pensijilan AEO, Swift dan anak syarikatnya dapat menawarkan faedah kepada pelanggan terpilih termasuk keutamaan pelepasan kastam, pembayaran duti tertunda, pelepasan penghantaran lebih cepat, kadar pengurangan pemeriksaan fizikal kedua-dua barangan diimport atau dieksport serta keselamatan dipertingkatkan dan pengurangan risiko yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swift, Loo Yong Hui berkata, pihaknya sentiasa percaya melaksanakan tugas dan perkhidmatan dengan standard keselamatan tertinggi.
"Proses dalaman kami yang teguh direka bentuk untuk menegakkan piawaian ini. Pensijilan sebagai AEO ini sangat bermanfaat kepada Swift dan pelanggan kami.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengenai pensijilan tersebut. Saya pasti pelanggan kami akan mendapat manfaat yang besar daripada ini," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com