Swift Haulage lupus 12.5% kepentingan dalam Global Vision Logistics berharga RM44.36 juta kepada IJM | DagangNews Skip to main content

Swift Haulage lupus 12.5% kepentingan dalam Global Vision Logistics berharga RM44.36 juta kepada IJM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Swift Haulage Berhad memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) dengan IJM RE Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat IJM Corporation Berhad (IJM) bagi melupuskan 12.5% kepentingan dalam Global Vision Logistics Sdn. Bhd. (GVL) berharga RM44.36 juta. 

 

GVL yang merupakan syarikat bersekutu Swift Haulage, merupakan pemilik projek dan pemaju Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam. 

 

"Setelah selesai cadangan pelupusan itu, pemilikan Swift Haulge dalam GVL akan berkurangan daripada 42.5% kepada 30%," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, fasa pertama hab logistik di atas tanah seluas 28.73 hektar yang bermula pada September tahun lalu terdiri daripada pelbagai kemudahan termasuk kompleks gudang empat tingkat, kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang merangkumi empat tingkat dan pejabat satu tingkat, bersama-sama dengan bangunan sampingan.

 

Katanya, ia dijangka siap pada 2025, fasa ini akan menyediakan keluasan bersih yang boleh disewakan seluas 2.8 juta kaki persegi. Pelan untuk fasa kedua sedang dijalankan, yang akan menjadikan jumlah ruang gudang kepada kira-kira 6 juta kaki persegi setelah selesai semua fasa.

 

"Hab logistik itu merupakan komitmen terhadap kemampanan ditunjukkan melalui kemasukan ciri mesra alam, daripada fasa pembinaan kepada amalan operasi.

 

"Ini termasuk penggunaan bahan binaan rendah karbon, pemasangan panel solar dan pelaksanaan pencahayaan cekap tenaga, lif dan sistem penyejukan udara, bersama kelengkapan air yang cekap.

 

"Ia adalah bagi memenuhi keperluan industri logistik yang berkembang dan pembangunan ini direka bentuk sejajar dengan matlamat alam sekitar utama," katanya.​ - DagangNews.com