Syarikat berstatus PN17, Perak Corp bekerjasama dengan Advancecon bangunkan projek perindustrian bernilai RM1 bilion di Perak | DagangNews Skip to main content

Syarikat berstatus PN17, Perak Corp bekerjasama dengan Advancecon bangunkan projek perindustrian bernilai RM1 bilion di Perak

Bangunan Perak Corp di Bandar Meru Raya, Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Nov - Perak Corp Bhd. yang dibebani hutang telah melantik anak syarikat milik penuh Advancecon Holdings Bhd., Advancecon Development Sdn. Bhd. sebagai rakan usaha sama untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur utama untuk Hab Perindustrian Silver Valley Technology Park.

 

Ini termasuk menjalankan penjualan lot perindustrian yang telah siap dengan infrastruktur utama di atas 39 keping tanah pajakan di Hulu Kinta dekat sini yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.03 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Perak Corp berkata, ia telah mengeluarkan surat anugerah kepada Advancecon bagi cadangan pembangunan bersama seluas 798.24 ekar. 

 

Projek ini tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian pembangunan bersama dalam masa terdekat.

 

Cadangan pembangunan bersama itu adalah untuk tempoh lima tahun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan, pemegang saham Perak Corp pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan dan Bursa Malaysia Securities mengenai pelan regularisasi Perak Corp.

 

Ia juga tertakluk kepada aku janji bertulis daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), yang merupakan pemilik tanah dan perbadanan induk Perak Corp.

 

Di bawah usaha sama itu, Perak Corp berhak mendapat bahagian hasil sebanyak 35% berdasarkan nilai pembangunan bersih manakala Advancecon pula sebanyak 65%.

 

"Memandangkan Perak Corp diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Nota Amalan 17 (PN17), cadangan pembangunan bersama itu menyediakan ruang kepada syarikat untuk mengumpul dana.

 

“Sumber kewangan ini untuk disalurkan kepada operasi perniagaan kumpulan yang akan meningkatkan kedudukan aliran tunai keseluruhan kumpulan serta mengukuhkan kedudukan kewangannya sebagai sebahagian daripada usaha penyelarasannya," kata Perak Corp. 

 

Ia tersenarai dalam PN17 pada Februari 2020 akibat keingkaran dalam pembayaran dan ketidakupayaannya untuk mengisytiharkan beban kewangan.

 

"Pembangunan bersama yang dicadangkan itu adalah sebahagian daripada langkah untuk mengumpul wang tunai yang diperlukan bagi rancangan penyusunan perniagaan kumpulan, yang masih dalam peringkat dimuktamadkan pada tarikh pengumuman ini. 

 

“Kumpulan merancang untuk membuat pengumuman yang diperlukan tentang cadangan pelan penyelarasan itu pada suku keempat 2023," tambah Perak Corp.

 

Memandangkan cadangan pembangunan bersama adalah komponen pelan penyusunan Perak Corp, maka kelulusan pemegang saham untuk cadangan pembangunan bersama akan diminta bersama-sama dengan pelan penyusunan semula secara serentak.

 

Cadangan pembangunan bersama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan saham dan aset bersih Perak Corp bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024) dan seterusnya sehingga tamat tempoh projek.

 

Advancecon bercadang untuk membiayai cadangan pembangunan bersama melalui dana dalaman dan/atau pinjaman luar.

 

Saham Perak Corp naik satu sen atau 2.44% kepada 42 sen pada hari Isnin dengan nilai RM42 juta. 

 

Saham Advancecon ditutup tidak berubah pada 29 sen dengan 132,000 saham diniagakan manakala permodalan pasarannya berjumlah RM169.57 juta.- DagangNews.com