Syarikat Jerman, Schott AG tubuhkan pusat kecekapan IT di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syarikat Jerman, Schott AG tubuhkan pusat kecekapan IT di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Schott AG telah memilih Malaysia bagi penubuhan pusat kecekapan teknologi maklumat (IT) baharunya, Schott Asia IT Services Sdn Bhd (SAITS).

 

Penubuhan pusat oleh syarikat kaca multinasional dari Jerman itu menerima sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

MDEC yang memetik kenyataan Naib Presiden dan Ketua Penyelesaian Maklumat Serantau di Schott AG, Mirko Goetze pada Bulan Teknologi Malaysia 2021 (MTM’21), memberitahu bahawa lokasi geografi Malaysia di tengah-tengah Asia merupakan salah satu faktor utama syarikat memilih untuk menubuhkan SAITS di Kuala Lumpur.

 

Tambah beliau, Malaysia telah memenuhi keperluan Schott sebagai sebuah lokasi sesuai, terutamanya melibatkan undang-undang IP dan privasi, tawaran dan kesetiaan pekerja, kemahiran bahasa Inggeris dan familiariti dengan budaya barat.

 

Mirko Goetze
Mirko Goetze

 

“Pengalaman kami sepanjang tempoh lima hingga enam bulan lalu di Malaysia banyak berhutang budi dengan MDEC dan organisasi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Tanpa bantuan hebat dari mereka, sukar untuk kami jadikan ini satu kenyataan,” katanya.

 

SAITS dijangka menerajui peranan penting di dalam Schott IT, dengan tumpuan terhadap penggabungan perkhidmatan IT syarikat yang kini berada di pelbagai penyedia dengan membawa mereka di bawah satu bumbung.

 

Pada peringkat permulaan, pusat kecekapan itu akan membantu mengendalikan aktiviti IT seperti kemayaan dan pengurusan platform awan, perkhidmatan rangkaian dan tempat kerja moden di 45 kilang pengeluaran dan tujuh unit perniagaan di seluruh dunia.

 

Schott AG mempunyai kepakaran dalam pembuatan kaca dan seramik kaca yang berpangkalan di Mainz, Jerman dengan kehadiran di 34 buah negara.

 

Pada tahun 1974, syarikat itu juga telah menubuhkan sebuah tapak pengeluaran di Pulau Pinang.

 

Setakat tahun fiskal 2020, Schott mempunyai 16,500 pekerja di seluruh negara, dengan menghasilkan jualan mencecah €2.24 billion atau sekitar RM11.13 bilion.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) dan Ketua Pegawai Pemasaran MDEC, Raymond Siva berkata, penubuhan Perkhidmatan IT Schott Asia yang canggih di Malaysia membuktikan keyakinan berterusan oleh syarikat Jerman terhadap negara sebagai destinasi utama bagi pelaburan digital.

 

Raymond Siva
Raymond Siva

 

“Ini juga merupakan langkah ke hadapan untuk ‘Digital Investments Future5 (DIF5) Strategy’ MDEC, pelan lima tahun kami yang menumpukan kepada lima teras utama untuk menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi digital Malaysia sejajar Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital),” katanya.

 

Jerman merupakan pelabur asing terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU) dan penubuhan SAITS dikatakan mencerminkan keyakinan berterusan oleh syarikat Jerman di Malaysia.

 

Setakat Jun 2020, Malaysia telah menyaksikan penyertaan sebanyak 461 projek pembuatan dengan Jerman dan pelaburan berjumlah AS$9.36 bilion (RM33.31 bilion), menurut MIDA. - DagangNews.com