Syarikat kopi Chek Hup setuju taja RM4.5 juta untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 | DagangNews Skip to main content

Syarikat kopi Chek Hup setuju taja RM4.5 juta untuk mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024

Nurmalis (kanan), Joseph (dua dari kanan) dan Tzee Yee (dua dari kiri) pada majlis menandatangani kerjasama kempen Tahun Melawat Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 15 Dis - Kempen promosi Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) mendapat sokongan swasta apabila menerima tajaan sebanyak RM4.5 juta daripada syarikat kopi tempatan, Check Hup Sdn. Bhd. (Chek Hup).

 

Chek Hup merupakan syarikat pengeluar minuman pelbagai jenis kopi dari Ipoh yang telah beroperasi sejak 58 tahun lalu dan menembusi pasaran antarabangsa.

 

Sebagai menyokong kempen TMP2024, pembungkus kopi keluaran Chek Hup menampilkan produk pelancongan Perak.

 

Antaranya Warisan Kapal Korek TT5, Kellie’s Castle, Menara Condong Teluk Intan, Taman Tasik Taiping dan Gerbang Perniagaan Paloh di Ipoh.

 

Kopi
Sebahagian daripada produk kopi keluaran Chek Hup.

 

Menerusi pengiklanan seperti ini ia secara tidak langsung menjual produk pelancongan Perak ke seluruh pelusuk negara dan antarabangsa.

 

Selain itu, produk kopi ini juga akan dibawa pada acara kerajaan negeri termasuk di daerah-daerah sekali gus menjadikan jenama ini sebagai kopi rasmi TMP2024.

 

Terdahulu, majlis menandatangani kerjasama telah dimeterai antara Chek Hup yang diwakili Ketua Pengarah Kumpulan Chek Hup Sdn Bhd, Joseph Tan dengan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee.

 

Kopi

 

Sementara itu, Joseph memberitahu, pihaknya tampil untuk menyokong industri pelancongan Perak menerusi pasaran produk Chek Hup yang meluas.

 

“Kami juga telah memasarkan produk Chek Hup ke 15 buah negara seperti Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

 

“Saya yakin, usaha mempromosikan ikon pelancongan utama di negeri Perak ini menerusi produk kami mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk datang ke Perak,” katanya. - DagangNews.com