Syarikat luar negara, tempatan bersaing menangi kontrak perolehan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Syarikat luar negara, tempatan bersaing menangi kontrak perolehan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi Tentera Darat

Kenderaan Oskosh JLTV bersaing untuk memenangi kontrak MINDEF.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kementerian Pertahanan (MINDEF) dijangka akan memuktamadkan perolehan 50 buah kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) tahun ini untuk Tentera Darat (TD) meningkatkan keupayaannya. 

 

Perolehan berkenaan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 minggu lalu.

 

Walaupun kos perolehan tidak dinyatakan tetapi ia dianggarkan dalam lingkungan RM60 juta hingga RM70 juta termasuk kelengkapan dan latihan.

 

TD sejak empat tahun lalu telah mengintai beberapa jenis kenderaan ini bagi melengkapkan inventori pasukan tersebut.

 

Kenderaan
Kenderaan Oskosh JLTV telah pun digunakan beberapa negara selain AS.

 

Kenderaan

 

HMLTV merupakan kenderaan taktikal ringan yang mempunyai perisai bagi menangkis tembakan senjata kecil seusia dengan fungsi kenderaan beroperasi di medan tempur.

 

Kenderaan ini boleh digunakan untuk melakukan tinjauan, menyusup ke kawasan musuh, membawa anggota dan pelbagai kegunaan operasi taktikal.

 

Difahamkan, TD telah mempunyai beberapa calon untuk dipilih berdasarkan kecenderungan serta ujian yang telah dilakukan sebelum ini.

 

Berada dalam senarai ialah kenderaan Oskosh JLTV buatan Amerika Syarikat (AS).

 

Kenderaan
Oskosh JLTV dibina untuk menggantikan kenderaan Humvee.

 

Firma Oskosh Defence membangunkan kenderaan ini untuk menggantikan Humvee sebagai kenderaan utiliti tempur bagi tentera AS.

 

Ketika ini ribuan kenderaan Oskosh JLTV serta varian lain telah pun digunakan oleh pasukan Kor Marin AS manakala negara pengguna lain seperti Romania, Lithuania, Macedonia, Brazil dan Montenegro. 

 

Pihak TD juga dikatakan telah menguji kenderaan tersebut di luar negara dan berpuas hati dengan keupayaan serta prestasi yang ditunjukkan.

 

Pada masa sama, sebuah syarikat tempatan telah pun memeterai memorandum persefahaman dengan pihak Oskosh Defence untuk memasarkan kenderaan berkenaan kepada MINDEF.

 

Kenderaan
Abjan Mk2.

 

Sebuah lagi kenderaan yang diuji ialah Ajban Mk2 4x4 NIMR buatan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

NIMR merupakan pengeluar automotif ketenteraan dengan fokus pada kenderaan jenis ringan dan sederhana meliputi pelbagai platform mengikut keperluan pengguna. 

 

Ia termasuklah melakukan integrasi sistem persenjataan serta selenggaraan kenderaan.

 

Syarikat ini bernaung di bawah EDGE Group iaitu sebuah konglomerat milik kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

 

Kenderaan
UAE giat melobi  produk pertahanan negara itu termasuk kenderaan Ajban Mk2.

 

NIMR sebelum ini giat melakukan usaha untuk menembusi pasaran luar Timur Tengah khususnya ke negara Asia Tenggara berikutan perjanjian dengan rakan industri di Malaysia dan Thailand.

 

Menerusi kerjasama dengan DRB HICOM Defence Technology (Deftech) pada 2018, kedua-duanya bersedia mewujudkan perkongsian dalam segmen automotif.

 

Peranan Deftech termasuk menyokong NIMR melalui pemasaran dan penjualan rangkaian lengkap kenderaan firma tersebut ke Malaysia dan wilayah lain di Asia Tenggara.

 

EDGE Group juga ada memeterai memorandum persefahaman bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk meluaskan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

 

Rentaka
MILDEF Rentaka HMLTV.

 

Rentaka
Bahagian dalam kenderaan Rentaka.

 

Tidak ketinggalan syarikat tempat, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) mempertaruhkan kenderaan HMLTV Rentaka 4x4.

 

Ini merupakan kenderaan berperisai kedua yang diperkenalkan syarikat tersebut selepas HMAV Tarantula.

 

HMLTV Rentaka berkuasa 6.7 liter V8 Turbo Diesel itu juga telah diuji nilai pihak TD sebelum ini termasuk menyertai pameran pertahanan di luar negara.

 

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) membeli 20 buah kenderaan Panthera 4x4 buatan Nurol Makina, Turkiye bagi kegunaan tentera pengaman di Lebanon.

 

Kenderaan
Kenderaan Norul Makina 4x4

 

Difahamkan, ini juga sebahagian daripada proses untuk menggantikan kenderaan APC Radpanzer Condor yang digunakan di sana lebih 13 tahun lalu.

 

Sama ada buatan luar negara atau tempatan, pastinya kenderaan HMLTV yang dipilih nanti memenuhi ciri-ciri yang diperlukan TD selain aspek ketahanan untuk beroperasi di medan tempur.

 

Penerimaan kenderaan-kenderaan ini juga dapat menyuntik semangat kepada warga TD melaksanakan tanggungjawab yang dipikul. - DagangNews.com