Syarikat Malaysia optimis tapi bimbang memasuki 2021 | DagangNews Skip to main content

Syarikat Malaysia optimis tapi bimbang memasuki 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Perniagaan-perniagaan di Malaysia menzahirkan kebimbangan mereka terhadap  prospek dan jangkaan masa depan, lebih-lebih lagi dengan pandemik COVID-19 dan keadaan politik negara yang tidak menentu.

 

Menurut kaji selidik Sentimen Perniagaan Malaysia 2020/2021 oleh Monash University Malaysia, perniagaan-perniagaan itu berharap pemahaman yang lebih baik mengenai virus, penemuan vaksin yang berpotensi, terapi perubatan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan dapat membantu mereka mengatasi cabaran COVID-19.

 

Bahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi risiko kejatuhan turut menzahirkan kebimbangan tetapi kekal optimis dalam menguruskan kesan pandemik.

 

Monash University dalam sebuah kenyataan berkata, sentimen kebimbangan dalam kalangan peneraju perniagaan timbul akibat gangguan rantaian bekalan dan operasi perniagaan yang teruk, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Namun, mereka tetap bersikap optimis dari segi jangkaan masa depan disebabkan langkah-langkah pemotongan kos dan pelbagai program sokongan kewangan yang membantu mengurangkan impak COVID-19 terhadap perniagaan.

 

“Para pemimpin perniagaan juga berharap agar pematuhan terhadap SOP, PKP yang lebih ketat dan bersasar, pengeluaran vaksin dan terapi perubatan dalam beberapa bulan akan datang, dapat membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur.

 

“Kebimbangan utama yang melanda pasaran tempatan adalah ketidaktentuan ekonomi global (kemungkinan ke arah kemelesetan ekonomi), kos menjalankan perniagaan dan ringgit yang semakin lemah.

 

“Ketidaktentuan politik berada pada kedudukan keempat yang menjadi kebimbangan utama perniagaan pada tahun 2020," kata Monash University mengulas mengenai dapatan kaji selidik itu.

 

Kebanyakan pemimpin syarikat berpendapat bahawa tiga faktor utama yang mungkin mempunyai kesan positif terhadap perniagaan dalam tempoh 12 bulan akan datang adalah peningkatan kemampuan perniagaan, peningkatan ekonomi serantau dan potensi pengembangan pasaran kerana lebih banyak ekonomi dibuka bagi pengurusan pandemik kesihatan yang lebih baik, tambah kenyataan itu.

 

Kajian itu turut mendapati sentimen negatif meningkat sebanyak 8%, dengan pemimpin perniagaan menjangkakan situasi yang buruk pada tahun hadapan.

 

Selain itu, perniagaan-perniagaan juga menumpukan masa dan sumber mereka dalam empat bidang utama iaitu pengurusan kos, pencarian pasaran baharu, teknologi digital, dan perancangan strategik.

 

Sebanyak 46% responden menganggarkan mereka akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dalam tempoh 12 bulan akan datang, berdasarkan penurunan yang berterusan sebanyak 51% daripada tahun 2019.

 

Manakala, 89% pemimpin perniagaan berpendapat bahawa kepelbagaian dan penyediaan peluang yang sama merupakan keutamaan dalam organisasi mereka.

 

Bagaimanapun, inisiatif melibatkan kelestarian dan pelaporan bersepadu tidak dilihat sebagai bidang tumpuan bagi syarikat Malaysia pada masa ini.

 

Kaji selidik itu merupakan inisiatif bersama antara Monash University dan CPA Australia.

 

Dalam edisi kali ini, 600 responden daripada pelbagai industri, lokasi dan saiz perniagaan menyatakan pandangan dan pendapat mengenai persekitaran mereka.  – DagangNews.com