KUALA LUMPUR 13 Okt. - Fitch Ratings menjangkakan hampir kesemua syarikat minyak dan gas di Asia Pasifik berhadapan aliran tunai negatif tahun ini disebabkan harga minyak dan gas yang rendah akibat pandemik COVID-19.
Malah menurutnya, keadaan itu dijangka berterusan sehingga 2021 dengan harga minyak akan meningkat lebih tingi secara berperingkat-peringkat.
Agensi penarafan itu berkata, dalam tinjauan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) didapati sebahagian besar penurunan semasa tidak berubah melainkan jika terdapat perubahan dalam prospek penarafan kedaulatan atau semakan semula terhadap Standalone Credit Profiles (SCP).
"Pendapat kami, wujudnya hubungan yang lemah ini disebabkan kebanyakan syarikat minyak dan gas di Asia Pasifik ini adalah entiti milik kerajaan atau syarikat induknya juga berkaitan kerajaan.
"Oleh itu, IDR ini akan berkait atau terkesan dengan penarafan kedaulatan atau melalui syarikat induk mereka," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Fitch menjangkakan syarikat-syarikat berkenaan akan merekodkan imbangan tunai yang kukuh dan bersesuaian dengan perbelanjaan modal (capex) dan kos.
"Bagi syarikat yang mempunyai perlindungan aliran tunai, boleh mengekalkan SCP masing-masing dalam menghadapi situasi mencabar ini walaupun terdapat peningkatan sementara dan aliran tunai yang negatif," katanya.
Fitch juga mendapati syarikat yang mempunyai imbangan tunai lemah dan fleksibiliti waktu operasi yang terhad akan lebih terkesan dengan harga minyak dengan SCP mereka disemak rendah.
"Ini termasuklah Oil India Limited (BBB-/Negatif) dan PT Saka Energi Indonesia (BB/Negatif)," jelasnya. - DagangNews.com