Syarikat pengendali dapur hibrid Cookhouse peroleh pensijilan halal | DagangNews Skip to main content

Syarikat pengendali dapur hibrid Cookhouse peroleh pensijilan halal

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Syarikat pengendali dapur hibrid tempatan, Cookhouse memperoleh sijil halal, sekali gus menetapkan piawaian baharu dalam industri makanan di Malaysia.

 

Pengasas Cookhiu Malaysia, Huen Su San berkata, susulan pencapaian itu, Cookhouse menjadi pilihan ruang dapur komersial yang bermutu tinggi serta  diperakui sebagai premis sedia halal untuk disewa, yang merevolusikan sektor makanan dan minuman (F&B) di negara ini.

 

Beliau berkata, Cookhouse di Sunway, TTDI dan Bukit Bintang kini memainkan peranan penting untuk menyokong pengusaha makanan dalam perjalanan halal mereka. 

 

"Menyedari ketiadaan kemudahan yang diperakui halal sebagai kekangan utama dalam proses permohonan sijil halal, Cookhouse muncul sebagai rumusan mampan bagi cabaran yang telah wujud sekian lama ini.

 

"Kami amat berbangga untuk mempelopori pensijilan halal bagi ruang dapur, menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa dan menawarkan rumusan bagi perniagaan F&B.

 

"Dengan menangani elemen kritikal proses pensijilan halal, kami berhasrat untuk memudahkan dan mempercepatkan perjalanan bagi pengusaha makanan dan membentuk landskap yang boleh diakses dalam industri," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang membantu dalam memberikan sokongan dan komitmen dalam mengembangkan industri makanan halal di Malaysia.

 

 

Cookhouse
Huen Su San (tengah) menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada Jakim.

 

 

"Kami berharap perniagaan makanan besar dan kecil akan dapat memanfaatkan kemudahan kami bagi menyokong strategi pertumbuhan mereka," katanya.

 

Katanya, pengiktirafan Cookhouse sebagai premis sedia halal untuk disewa adalah bukti dedikasi syarikat terhadap inovasi dan visi untuk menawarkan rumusan yang tidak ternilai kepada pengendali makanan.

 

"Malah, ia juga membuka jalan yang jelas dan lancar kepada perniagaan untuk memperoleh sijil halal, sekali gus menghapuskan halangan utama dan memastikan pematuhan dengan piawaian halal," katanya.

 

Tambahnya, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Cookhouse sebagai pemangkin untuk perubahan positif dalam sektor F&B. 

 

Di samping merintis kemajuan yang berterusan katanya, Cookhouse kekal komited dalam misinya untuk membentuk persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan, keterangkuman dan piawaian kecemerlangan untuk semua usahawan F&B. - DagangNews.com