Syarikat pertahanan Thailand semakin dinamik, tampilkan teknologi baharu untuk pikat pasaran global | DagangNews Skip to main content

Syarikat pertahanan Thailand semakin dinamik, tampilkan teknologi baharu untuk pikat pasaran global

Kenderaan Chaiseri AWAV 8x8 yang dipamerkan pada Defence & Security 2023.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Nov - Pameran Pertahanan dan Keselamatan 2023 (Defence and Security 2023) di Bangkok, Thailand awal bulan ini menonjolkan sisi kemajuan industri pertahanan negara itu.

 

Pembangunan inovasi industri pertahanan keselamatan Thailand dapat dilihat menerusi penyertaan syarikat-syarikat negara itu yang turut serta.

 

Firma Chaiseri Defence misalnya mempertontonkan buat pertama kali kenderaan amfibia berperisai 8 roda AWAV 8x8 pada pameran tersebut.

 

AWAV 8x8 ialah kenderaan perisai yang direka dan dihasilkan di Thailand. 

 

Apc
Bahagian dalam kenderaan AWAV.

 

Apc

 

Ia mempunyai keupayaan untuk terapung dan bergerak di atas permukaan air dengan 2 enjin waterjet yang besar. 

 

Dilengkapi dengan plat perisai pada sekeliling kenderaan, ia mempunyai ketahanan tembakan pada tahap STANAG 4569 Lv2 dan perlindungan daripada ledakan periuk api.

 

AWAV yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan untuk pasukan Kor Marin Diraja Thailand dan Tentera Laut Diraja Thailand dengan kontrak AS$12.6 juta.

 

Chaiseri pada masa sama berhasrat meneroka peluang eksport untuk AWAV.

 

Lipan
Kenderaan perisai Lipan Bara.

 

Dengan pengalaman 40 tahun dalam industri pertahanan, Chaiseri juga sebelum ini pernah menampilkan kenderaan perisai yang berkualiti.

 

Angkatan Tentera Malaysia juga merupakan antara pengguna kenderaan Chaiseri menerusi usaha sama dengan DEFTECH sebelum ini iaitu kenderaan perisai Lipan Bara.

 

Pada pameran sama, Thailand turut mempamerkan sistem pelancar roket berganda D11A yang dibangunkan oleh Defense Technology Institute (DTI).

 

Ia mampu melancarkan tembakan roket dengan kaliber berbeza dengan jarak berkesan antara 40 dan 100 kilometer (km).

 

Roket
Sistem artileri D11A.

 

DTI, sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan Thailand telah memajukan pembangunan D11A dengan kerjasama firma Elbit System dari Israel.

 

Pembangunan prototaip D11A pertama ini siap penghujung tahun lalu yang akan diikuti prototaip kedua.

 

Rancangan seterusnya ialah kerjasama DTI dan Elbit Systems untuk membangunkan peluru berpandu pintar, SkyStriker untuk dipadankan dengan senjata berkenaan.

 

Dengan perbelanjaan pertahanan kira-kira RM21 bilion setahun, ini boleh membayangkan corak perolehan ketenteraan negara itu yang jauh lebih besar berbanding Malaysia.

 

Nampaknya Thailand benar-benar ingin menjadi antara peneraju dalam industri pertahanan di rantau sebelah sini sepertimana Indonesia dan Singapura.

 

Walaupun tidak mewujudkan perlumbaan senjata di rantau ini, namun kemajuan industri pertahanan di Thailand wajar berlaku sama di Malaysia setidak-tidaknya mewujudkan daya berdikari.- DagangNews.com