KUALA LUMPUR 7 Mei — ASELSAN, syarikat elektronik pertahanan utama Turki, menganggap Malaysia berfungsi sebagai hab strategik untuk pelan pertumbuhannya di Asia Pasifik.
Pengurus Besar ASELSAN, Ahmet Akyol berkata, dengan kehadiran lebih dua dekad dalam pasaran Malaysia dan penubuhan ASELSAN Malaysian Ssnd Bhd pada 2017, pihaknya percaya syarikat ini berada pada kedudukan yang sangat baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul dan memperdalam penglibatan di rantau ini.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Türkiye dalam industri pertahanan menyediakan asas yang kukuh terhadap usaha ASELSAN yang seterusnya ke rantau ini.
Kedua-dua negara telah menyatakan minat untuk mengembangkan kerjasama selanjutnya bagi meningkatkan kepakaran bersama dalam teknologi pertahanan.
“Pendekatan kerjasama ini, yang melangkaui perjanjian pembelian semata-mata kepada pelaburan, pembuatan dan pemindahan teknologi, sejajar dengan visi ASELSAN untuk membina perkongsian berkekalan dan menyumbang kepada usaha pemodenan pertahanan Malaysia,” katanya.
ASELSAN turut menyertai Pameran Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara Antarabangsa DSA-NATSEC yang sedang berlangsung sekarang dari 6 hingga 9 Mei 2024.
ASELSAN menyertai pameran tersebut bersama-sama lebih daripada 1,320 syarikat daripada 60 buah negara sebagai pempamer dan 34 buah negara yang mengetuai pavilion mereka sendiri.
“Penyertaan kami dalam salah satu pameran pertahanan terbesar di rantau Asia Pasifik perlu memberi isyarat tegas kepada dedikasi ASELSAN untuk mengukuhkan hubungan dengan menyediakan penyelesaian termaju untuk memenuhi keperluan teknologi bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara serantau yang lain,” katanya.
ASELSAN mempersembahkan pelbagai produk, dengan tumpuan khusus pada sistem tentera laut termaju di pameran tersebut, kata Akyol.
“Penyertaan kami dalam Pameran Antarabangsa DSA-NATSEC mencerminkan komitmen kami untuk berkongsi teknologi perubahan paradigma ASELSAN di medan perang global.
“Kami berbangga untuk membuktikan kehadiran dan keupayaan kami di Malaysia, yang kami lihat sebagai batu loncatan untuk strategi pertumbuhan berorientasikan eksport kami.”
ASELSAN menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pasarannya dan mengukuhkan dirinya sebagai pemain utama dalam landskap industri pertahanan Malaysia, selaras dengan strategi pertumbuhannya.
“Dengan memanfaatkan sistem dan kepakaran negara kami, kami berusaha untuk meningkatkan keupayaan pertahanan Malaysia dan menyumbang kepada kemajuan negara dalam arena pertahanan global,” kata Akyol. - DagangNews.com