KUALA LUMPUR 31 Julai - Syarikat pengeluar sarung tangan dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku kedua 2024 (2Q24) yang lebih kukuh didorong oleh peningkatan permintaan dan harga jualan purata (ASP) yang lebih baik.
Sehubungan itu, RHB Investment Bank mengekalkan taraf saranan 'Overweight' sektor sarung tangan getah dengan Riverstone, Hartalega dan Kossan Rubber menjadi pilihan utama.
"Kami memperoleh maklumat kadar pengeluaran semasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah tempahan pada 2Q24 yang dijangka meningkat sekurang-kurangnya 10% dari suku ke suku.
"Untuk masa depan, kami menjangka trend pemulihan permintaan yang signifikan akan muncul pada separuh kedua 2024 (2H24), bersama dengan peningkatan ASP, akan mendorong keuntungan para pembuat sarung tangan pada tahun 2024," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment dalam pada itu mengekalkan pandangan jualan akan meningkat secara beransur-ansur dalam dinamik permintaan-penawaran yang lebih seimbang.
"Dengan penghapusan kapasiti berlebihan dalam industri, kami menjangkakan keseimbangan permintaan-penawaran dalam industri akan tercapai menjelang akhir tahun 2024.
"Kami juga meramalkan risiko persaingan harga daripada pesaing China akan berkurang, berdasarkan kebimbangan kualiti yang menyebabkan kadar penolakan yang lebih tinggi daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) dan peralihan sikap pemain China ke arah kelestarian.
"Pengumuman baru-baru ini mengenai tarif 25% ke atas sarung tangan perubatan yang dibuat di China dijangka menyebabkan peralihan perdagangan kepada produk buatan Malaysia," jelasnya.
Dengan itu, katanya, Hartalega dijangka menjadi penerima manfaat utama berikutan pendedahan besar kepada Amerika Utara diikuti oleh Kossan, Supermax dan Top Glove.
"Kadar penggunaan kilang kini menunjukkan tanda-tanda peningkatan yang memberangsangkan selepas pelaksanaan pengurangan kapasiti pada tahun 2023.
"Kami mendapat maklumat bahawa pengeluar tempatan kini beroperasi dengan kadar penggunaan dalam julat 60-80% berbanding 40-70% sebelum ini.
"Kami meramalkan bekalan industri global akan meningkat sebanyak 7.3 bilion keping daripad 4.3 bilion keping pada tahun 2024, disebabkan oleh penambahan kapasiti yang dirancang oleh beberapa syarikat Utama," ujarnya.- DagangNews.com