KUALA LUMPUR 18 Sept - Pengeluar sarung tangan getah Malaysia dijangka mula merasai manfaat daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas produk China seawal suku keempat 2024 (4Q24), kata AmInvestment Bank Research.
Menurut firma penyelidikan itu, tarif sehingga 50% pada 2025 dan 100% bagi 2026 akan membuatkan pelanggan AS beralih kepada Malaysia berbanding China sebelum ini.
Katanya, pembuat sarung tangan getah perubatan China pula mungkin akan mengalihkan tumpuan ke pasaran lain seperti negara-negara Eropah dan juga Asia.
"Perlu diingat, AS menyumbang 45%-50% daripada pendapatan Intco Medical, pembuat sarung tangan terbesar di China, pada tahun 2023," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tambah AmInvestment, kadar tarif baharu ini akan menyaksikan harga purata jualan (ASP) sarung tangan perubatan daripada pembekal China dijangka melebihi harga pengeluar Malaysia sebanyak 21%-34% seawal tahun depan.
"Oleh itu, pemulihan jurang harga semasa antara sarung tangan China dan Malaysia akan meningkatkan kedudukan daya saing pengeluar Malaysia," jelasnya.
Pejabat Perwakilan Dagangan Amerika Syarikat (USTR) pada 13 September 2024 mengumumkan pindaan akhir mengenai semakan statutori tindakan tarif terhadap China.
Ini melibatkan kadar tarif baru untuk sarung tangan perubatan/bedah, yang akan disemak kepada 50% dan 100% (berkuat kuasa 2025 dan 2026) daripada 25% yang dicadangkan sebelum ini.
Sementara itu, AmInvestment berkata, dalam tempoh jangka panjang, permintaan sarung tangan dijangka sihat dengan pertumbuhan CAGR sebanyak 6%-8%.
"Pertumbuhan ini akan dipacu oleh dua faktor utama iaitu peralihan pilihan pelanggan AS dari pembekal China dan pengurangan inventori pasca-COVID-19 selepas pemulihan stok yang signifikan," jelasnya.
Firma penyelidikan itu menaikkan taraf Kossan Rubber Industries kepada 'Beli' dari 'Pegang' dengan nilai sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM2.52 sesaham berbanding RM2 sebelum ini.
Katanya, penyesuaian ini mencerminkan peningkatan dalam keuntungan FY25-FY26 sebanyak 4%-14% dan kerana Kossan dijangka dapat meraih lebih banyak volum daripada pengalihan perdagangan AS.
"Sementara itu, kami kekalkan panggilan 'Beli' untuk Hartalega dengan nilai sasaran yang lebih tinggi sebanyak RM3.60 sesaham (berbanding RM3.20/saham sebelum ini)
"Kedua-dua Hartalega dan Kossan adalah pilihan utama dalam sektor kami kerana pendedahan mereka yang signifikan terhadap pasaran AS, iaitu 45%-50% daripada pendapatan mereka.
"Kami mengekalkan 'Pegang' untuk Top Glove (FV: RM1.13/saham) yang mempunyai pendedahan pasaran AS yang lebih rendah iaitu 15%," ujarnya. - DagangNews.com