Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Sept. - Penganalisis percaya penguatkuasaan cukai durian runtuh akan menjejaskan industri sarung tangan tempatan ketika mereka sedang berdepan penurunan purata harga jualan (ASP) selain persaingan sengit dari China.
Namun, penganalisis di HLIB Research, Chan Jit Hoong tidak menolak kemungkinan cukai tersebut boleh dikuatkuasakan ke atas pemain industri sarung tangan, yang dijangka diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022.
“Cukai yang lebih tinggi tidak dinafikan akan mengurangkan persaingan pemain industri di peringkat global, terutamanya apabila pengeluar peralatan perubatan China berhak mendapat subsidi banyak daripada kerajaannya.
“Oleh itu, setelah mengambil kira semua perspektif ini, ia tidak adil dari segi ekonomi untuk menguatkuasakan cukai durian runtuh ke atas pemain industri tempatan, setelah kerajaan meraih hasil yang besar daripada keuntungan luar biasa syarikat sarung tangan menerusi kadar percukaian korporat standard,” jelas Jit Hoong dalam satu nota kajian.
Rang undang-undang berhubung cukai durian runtuh dilaporkan bakal dibentang untuk pembacaan kedua di Parlimen hari ini.
Kata Jit Hoong, cukai durian runtuh akan menjadi sumber pendapatan tambahan untuk kerajaan ketika pandemik ini, dan ‘ura-ura’ mengenai penguatkuasaannya ke atas syarikat sarung tangan tempatan bukan sesuatu yang baharu.
Buat masa ini, tiada maklumat lanjut yang ada dan masih belum jelas industri mana akan dikenakan penguatkuasaan cukai tersebut, ujar beliau lanjut.
“Semasa pembentangan Belanjawan 2021, empat pengeluar sarung tangan utama tempatan bersama-sama komited untuk menyumbang RM400 juta kepada kerajaan untuk melawan COVID-19.
“Oleh itu, sekiranya cukai durian runtuh ini akan dikuatkuasakan, ia mungkin diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober.
“Sehingga itu, kami menjangkakan sentimen ke atas sektor sarung tangan akan lemah, ekoran keadaan yang tidak menentu,” tambah beliau.
Berdasarkan unjuran awal HLIB, setiap 1% peningkatan cukai akan mendorong kepada 1.3% penurunan keuntungan sektor tersebut.
Buat masa ini, HLIB tidak mengubah saranan ‘beli’ ke atas Top Glove Corporation Berhad sementara penarafan ‘neutral’ ke atas Hartalega Holdings Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad dikekalkan. - DagangNews.com