Syarikat telekomunikasi mulakan ujian teknikal pelaksanaan rangkaian 5G | DagangNews Skip to main content

Syarikat telekomunikasi mulakan ujian teknikal pelaksanaan rangkaian 5G

PUTRAJAYA 30 Ogos - Syarikat telekomunikasi yang bakal menyediakan perkhidmatan rangkaian generasi kelima (5G) di Malaysia telah mula menjalankan ujian teknikal berkaitan pelaksanaannya.

 

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, ujian teknikal berkenaan kini dalam fasa keempat daripada lima fasa secara keseluruhan, dengan fasa terakhir merangkumi aspek penentuan pakej.

 

“Kita nampak ia satu perkembangan yang positif dan kemungkinan besar pada September ini rangkaian 5G akan ditawarkan oleh pemberi perkhidmatan. 

 

"Mereka telah mula menawarkan (5G) kepada kumpulan pelanggan khusus  mereka,” katanya  mengulas  mengenai perkembangan perjanjian  kepentingan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan syarikat telekomunikasi.

 

Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama anugerah Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG) di sini hari ini, antara MCMC, Universiti Kuala Lumpur, Lembaga Teknologi Malaysia  dan Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha merealisasikan pembangunan bakat digital dan pemerkasaan ekonomi digital, lapor Bernama.

 

Pada 1 Julai 2022, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, pengguna dijangka dapat menikmati perkhidmatan rangkaian 5G secara berperingkat selewat-lewatnya September ini dengan enam syarikat telah memeterai perjanjian untuk mengambil ekuiti dalam DNB.

 

Buat masa ini, hanya YTL Communications menerusi Yes telah menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna di Malaysia.

 

Enam syarikat telekomunikasi  utama negara  Maxis, DiGi, Celcom, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia bersetuju mendapatkan saham dalam DNB dan diberi tempoh hingga 31 Ogos 2022 untuk bersetuju dengan jumlah yang perlu dibayar bagi mendapatkan akses kepada rangkaian 5G.

 

DNB, yang merupakan syarikat tujuan khas kerajaan bagi pelancaran 5G, sebelum ini mengumumkan ketersediaan rangkaian itu di beberapa kawasan tertentu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

 

Mengenai isu ‘scammer’ yang semakin berleluasa, Mohd Ali Hanafiah berkata MCMC sedang dalam perbincangan dengan syarikat telekomunikasi agar mereka boleh mempertingkatkan atau memperkenalkan mekanisme pertahanan untuk menghalang panggilan ‘scammer’.

 

“Ia akan mengambil masa tetapi mereka sedang berusaha melakukannya,” katanya mengenai mekanisme pertahanan tersebut, selain menegaskan turut bekerjasama dengan pihak bank bagi tujuan sama.

 

MCMC juga akan meningkatkan advokasi kepada khalayak umum dan mengesyorkan agar mereka memuat turun aplikasi yang dapat mengenal pasti nama pemanggil untuk mengelakkan pengguna tertipu. - DagangNews.com