Syarikat telekomunikasi sumbang RM6 juta kepada pekerja barisan hadapan, rakyat terjejas | DagangNews Skip to main content

Syarikat telekomunikasi sumbang RM6 juta kepada pekerja barisan hadapan, rakyat terjejas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia mengambil inisiatif untuk menyumbang RM6 juta kepada pekerja di barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang terjejas akibat COVID-19.

Sumbangan itu dilaksanakan menerusi Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad dan TM melalui kempen ‘To Malaysia With Love’.

Syarikat telekomunikasi yang terlibat adalah Celcom, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis, Telekom Malaysia (TM), TIME dan U Mobile.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, GDRN dan Malaysian Coordination & Action Hub (MATCH) akan bertindak menyelaraskan sokongan oleh pihak industri telekomunikasi bagi membantu kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19. 

“Selain sumbangan wang tunai melalui GDRN, kebanyakan syarikat telekomunikasi turut melanjutkan penawaran Internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sehingga 31 Disember 2020 di samping memperkenalkan pakej-pakej khas.

“Bagi pakej-pakej khas pula, Celcom bekerja rapat dengan Malaysian Relief Agency (MRA) sejak April 2020 untuk menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan kepada golongan B40 yang menetap di kawasan yang terkesan teruk akibat COVID-19 di Sabah. 

“Sebagai menyokong keperluan kesalinghubungan, Celcom juga menyediakan pelan Internet bagi kegunaan Kementerian Kesihatan serta pek SIM prabayar XPAX di pusat-pusat kuarantin seluruh negara. 

“Digi pula memperkenalkan Pakej Jendela Belia Sabah merangkumi produk Digital Prepaid NEXT yang menawarkan akses Internet tanpa had dan panggilan kepada semua rangkaian. Maxis pula telah memberi sokongan kepada Kerajaan melalui inisiatif untuk memerangi pandemik COVID-19,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini. 

Majlis penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, menerusi kerjasama KKM, Maxis telah menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan bagi hospital serta pihak berkuasa, dan kolaborasi bersama kerajaan negeri untuk memberikan sokongan komunikasi terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Bagi membantu golongan pelajar sekolah Sabah agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajaran, U Mobile menjalin hubungan kerjasama dengan sebuah platform pendanaan awam iaitu Hanafundme. 

Di bawah inisiatif itu, U Mobile menjalinkan kerjasama dengan Huawei untuk menaja sebanyak 60 peranti mudah alih lengkap dengan pelan pasca bayar GX68 untuk tempoh selama setahun, yang akan dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar yang memerlukan di kawasan pedalaman di Penampang, Ulu Papar dan Tamparuli.

Sementara TM pula menyediakan sambungan perkhidmatan jalur lebar 100Mbps di Hospital Medan ATM Tawau dan 800Mbps di pusat kuarantin dan PPR Bubul Ria, Semporna. 

Turut dihulurkan ialah sumbangan bernilai lebih RM5.8 juta untuk usaha-usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) di hospital, pusat kuarantin, pembelian bekalan perubatan dan keperluan asas melalui pelbagai sumber seperti Tabung COVID-19 kerajaan, GDRN, zakat TM, tabung sumbangan peribadi Warga TM dan TM Family Care Packages. 

Manakala, dana yang disumbangkan kepada GDRN oleh TIME dotCom digunakan untuk membeli bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ventilator. 

“Inisiatif syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut dalam menghulurkan sumbangan kepada barisan hadapan dan rakyat di seluruh negara yang terkesan disambut baik. Sesungguhnya, tindakan itu mencerminkan keprihatinan pihak industri telekomunikasi terhadap kesusahan yang dihadapi oleh golongan terbabit. 

“Sumbangan yang diberikan amat besar maknanya buat barisan hadapan dan rakyat Malaysia yang terkesan dan menjadi harapan semua agar sumbangan tadi sedikit sebanyak meringankan kesusahan yang dihadapi oleh mereka dalam detik-detik sukar ini,” tambah SKMM. - DagangNews.com