Syed Saiful dilantik jadi CFO baharu Nestle Malaysia | DagangNews Skip to main content

Syed Saiful dilantik jadi CFO baharu Nestle Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Mei - Nestle (M) Bhd melantik Syed Saiful Islam sebagai ketua pegawai kewangan (CFO), berkuat kuasa 1 Ogos 2022, menggantikan Craig Connolly.

 

Connolly akan mengambil peranan baharu sebagai ketua perkhidmatan kewangan global yang berpangkalan di Vevey, Switzerland.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, bagi pihak lembaga pengarah, beliau mengucapkan tahniah kepada Connolly atas pelantikan baharunya dan terima kasih atas sokongan dan sumbangannya kepada Nestlé Malaysia.

 

"Dengan pengetahuan mendalam dan kepakarannya yang luas, Connolly telah menjadi pembantu juruterbang yang sangat baik dan membantu mengemudi syarikat melalui tahun-tahun yang sangat mencabar,” kata Aranols dalam satu kenyataan.

 

 

Juan Aranols
Juan Aranols

 

 

Syed menyertai Nestlé Bangladesh pada tahun 1999 sebagai pengurus perakaunan kewangan sebelum mengambil pelbagai peranan kewangan dalam Nestlé India dari tahun 2000 hingga 2005.

 

Selepas itu, beliau dilantik sebagai pengawal korporat Nestlé Bangladesh pada tahun 2006 sebelum beralih kepada pengawal negara pada tahun yang sama.

 

Sejak 2010, beliau telah menerajui beberapa peranan kepimpinan dalam Nestlé, termasuk naib presiden kewangan & kawalan Nestlé Sri Lanka, ketua kewangan & kawalan Nestlé Nigeria dan peranan semasanya sebagai ketua kewangan & kawalan Nestlé Pakistan sejak 2018. - DagangNews.com