KUALA LUMPUR 14 Feb - Syarikat penyelesaian e-perniagaan dan keselamatan siber, Systech Bhd berkata ia membeli 80% kepentingan dalam firma perisian pengurusan modal insan dan perkakasan komputer pada harga RM14.4 juta.
Menurut firma itu lagi, ia membeli pegangan dalam TalentCloud AI Sdn Bhd daripada Sea Capital Holdings Sdn Bhd, yang pengarah dan pemegang saham tunggalnya ialah Datuk Hooi Jia Hao.
Systech telah menjadi syarikat yang mencatat kerugian sejak tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 (FY2020).
Untuk sembilan bulan pertama FY2022, Systech mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM1.19 juta daripada RM1.7 juta dalam tempoh yang sama FY2021, apabila pendapatan meningkat sedikit kepada RM16.411 juta daripada RM16.408 juta, dirangsang oleh segmen keselamatan siber.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Systech turut mencadangkan untuk melupuskan keseluruhan kepentingannya dalam lima anak syarikat e-niaga yang merugikan — Syscatech Sdn Bhd, Mobysys Sdn Bhd, Techcasys Sdn Bhd, Syscatech Inc dan SysCode Sdn Bhd — untuk RM6.6 juta.
Sebahagian daripada hasil jualan ini akan digunakan untuk membayar pemerolehan TalentCloud, kata syarikat itu.
Pembeli lima anak syarikat itu ialah Bill Tham Kok Weng, yang merupakan pemegang saham utama SysArmy Sdn Bhd, anak syarikat Systech yang dimiliki 51 peratus.
Berikutan itu, Systech berkata ia akan diberi peluang untuk memanfaatkan inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan penggunaan teknologi melalui penubuhan Majlis Kebangsaan Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat.
"Kesemua cadangan urus niaga itu dijangka diselesaikan pada suku kedua 2023," kata Systech. - DagangNews.com