T7 Global dapat kontrak RM50 juta dari Petronas Carigali | DagangNews Skip to main content

T7 Global dapat kontrak RM50 juta dari Petronas Carigali

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - T7 Global Berhad menerusi anak syarikat penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. meraih kontrak bernilai RM50 juta dari Petronas Carigali Sdn. Bhd. berkuatkuasa 29 Mac hingga 28 Disember 2021.

 

Ini melibatkan penyediaan palam dan perkhidmatan peminggiran bersepadu untuk Pulai A, jelas syarikat tenaga itu dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Kata T7 Global, nilai kontrak tersebut berdasarkan kadar yang dipersetujui di dalam perintah kerja (work order) yang ditetapkan.

 

Pengerusinya, Datuk Seri  Dr. Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, perolehan kontrak itu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pemain perkhidmatan telaga bersepadu di negara ini dan mengesahkan keupayaan teknikal mereka. 

 

“Perkhidmatan telaga bersepadu, yang meliputi kedua-dua pengeluaran dan peminggiran telaga lama, akan membentuk sebahagian daripada penyelesaian telaga jangka panjang kepada pemain industri minyak utama. 

 

“Kami optimis terhadap industri minyak dan gas tempatan berdasarkan prospek stabil bagi tempoh tiga tahun akan datang memandangkan Petronas terus komited untuk memaksimumkan pengeluaran minyaknya dan terdapat lebih 500 telaga dirancang untuk dipasang secara kekal menjelang 2030 ekoran trend telaga terbiar yang semakin meningkat.

 

“Bagi tempoh beberapa tahun akan datang, kami berhasrat untuk memenangi kerja-kerja serupa yang lebih banyak dengan menawarkan penyelesaian telaga inovatif kepada Petronas dan pemain industri minyak utama di rantau ini,” katanya.

 

Perintah kerja itu diberikan kepada Tanjung Offshore di bawah Kontrak Payung Pan Malaysia bagi penyediaan perkhidmatan telaga bersepadu untuk intervensi, kerja dan pengabaian untuk Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC). 

 

Ini di mana Tanjung Offshore dilantik oleh Petronas Carigali sebagai salah satu daripada kontraktor panel bermula pada 20 September 2019. - DagangNews.com