T7 Global lancarkan badan kapal untuk MOPU | DagangNews Skip to main content

T7 Global lancarkan badan kapal untuk MOPU

Majlis yang diadakan di Qingdao, China oleh T7 Global dan kontraktor limbungan kapalnya, disaksikan oleh wakil daripada pelanggan T7 Global, Petronas Carigali Sdn Bhd. pada Sabtu lepas.

KUALA LUMPUR 18 April – Penyedia penyelesaian tenaga bersepadu T7 Global Berhad melancarkan badan kapal untuk Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih Bayan (MOPU).

 

Majlis yang diadakan di Qingdao, China oleh T7 Global dan kontraktor limbungan kapalnya, disaksikan oleh wakil daripada pelanggan T7 Global, Petronas Carigali Sdn Bhd. pada Sabtu lepas.

 

Pengerusi T7 Global Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, pelancaran itu cukup bermakna kerana badan kapal tersebut merupakan bahagian terbesar di dalam kerja pembinaan sesebuah kapal.

 

Menurut beliau, langkah seterusnya ialah menyepadukan bahagian atas MOPU, yang dijangka siap pada suku ketiga 2022.

 

''Kami juga akan mengadakan majlis penamaan dan pelayaran tidak lama lagi di China.

 

''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas Carigali atas sokongan berterusan mereka dalam projek menarik ini dan pasukan kami atas usaha gigih dalam menguruskan projek walaupun sekatan yang dihadapi semasa wabak ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

T7 Global Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani
                               Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

 

 

Dr Nik Norzrul Thani berkata, T7 Global tetap komited untuk menyampaikan MOPU ini dengan selamat dan mengikut jadual untuk menyumbang kepada keseluruhan Projek Pembangunan Semula Bayan Fasa 2.

 

Beliau berkata, MOPU ini akan disewa untuk 10 tahun akan datang sehingga 2032, yang akan memberikan pulangan kewangan berjangka panjang kepada Kumpulan.

 

 

t7 global
Majlis pelancaran badan kapal T7 Global di Qingdao, China pada 16 April 2022.​​​

 

 

T7 Global Berhad diperbadankan pada 11 Ogos 2004 dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

T7 Global ialah penyedia penyelesaian terkemuka terutamanya dalam industri tenaga dengan kehadiran kukuh di Asia yang melayani pelbagai pelanggan termasuk syarikat minyak dan gas multi nasional, industri tenaga dan am di seluruh dunia.- DagangNews.com