KUALA LUMPUR 24 Jun - TA Securities menetapkan nilai saksama RM1.06 bagi Johor Plantations Group Bhd (JPG) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama, berdasarkan nisbah harga pendapatan (PER) tahun kalendar 2025 sebanyak 14 kali, iaitu 20% diskaun kepada sasaran sektor TA Securities sebanyak 18 kali ganda.
Firma penyelidikan itu yang belum meletakan penarafan pada saham itu, berkata diskaun tersebut wajar disebabkan oleh kewajipan hutang JPG yang besar dan perbelanjaan modal yang besar diperlukan untuk program penanaman semulanya.
Mengenai unjuran kumpulan itu, TA Securities berkata ia menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) pada purata RM4,000/tan pada 2024 dan RM3,800/tan pada 2025.
“Dengan bekalan kacang soya dijangka meningkat pada 2024, kami percaya adalah sukar untuk melakar prospek harga menaik bagi MSM disebabkan oleh kesan penggantian.
“Pertumbuhan pada 2024/25 didorong terutamanya oleh pengeluaran kacang soya dan minyak sawit, dengan peningkatan juga dijangkakan dalam pengeluaran minyak zaitun dan kacang tanah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities berkata premium niaga hadapan minyak soya berbanding niaga hadapan minyak sawit telah berkurangan daripada kemuncaknya AS$803 (RM3,785)/tan kepada kurang daripada AS$150/tan baru-baru ini, yang berada dalam julat biasa AS$100 hingga AS$200/ tan.
“Oleh itu, minyak sawit kekal menarik sebagai alternatif, pada tahap tertentu.
“Perspektif ini boleh membantu mengurangkan potensi penurunan harga MSM, pada pandangan kami.
"Kami menjangkakan spread akan kekal stabil pada paras semasa pada separuh kedua tahun ini," katanya.
TA Securities berkata ia menjangka JPG mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 24.6% kepada RM204.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024).
“Pendapatan yang lebih tinggi akan didorong oleh harga minyak sawit yang lebih tinggi, pengeluaran tandan buah segar dan kos pengeluaran yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan pendapatan akan berkurangan pada FY2025 berikutan harga minyak sawit yang lebih rendah dan pertumbuhan volum pengeluaran yang lebih rendah disebabkan program penanaman semula yang lebih agresif,” katanya. - DagangNews.com