TA Securities nilai saham Kawan Renergy bakal disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 55 sen | DagangNews Skip to main content

TA Securities nilai saham Kawan Renergy bakal disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 55 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Mei - TA Securities menilai penyedia rumusan kejuruteraan, Kawan Renergy Holdings Berhad dengan memberikannya nilai saksama 55 sen sesaham.

 

Firma penyelidikan itu yang tidak mempunyai penarafan untuk saham itu, berkata, Kawan Renergy dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2025 (CY25) sebanyak 12 kali.

 

Bakal menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 30 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 Mei 2024, firma penyelidikan itu berkata, Kawan Renergy berharga pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) tertinggal 11.2 kali teras EPS tahun kewangan 2023 (FY23).

 

"Kawan Renergy beroperasi sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, terutamanya mengkhusus dalam reka bentuk, fabrikasi, pemasangan, dan penyelenggaraan peralatan proses industri serta loji tenaga boleh diperbaharui. 

 

"Selain itu, kumpulan ini juga merupakan pengeluar kuasa bebas, terlibat dalam penjanaan tenaga dan penjualan elektrik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut TA Securitis, Kawan Renergy mempunyai kelebihan kompetetif utama iaitu penyelesaian kejuruteraan yang sangat boleh disesuaikan untuk pelanggan dan pelanggan yang pelbagai merentasi pelbagai industri.

 

"Selain itu, ia mempunyai rekod prestasi terbukti dengan pengalaman selama 28 tahun dalam industri," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Renergy sasar kumpul RM33 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Pelaksanaan IPO Kawan Renergy merangkumi terbitan awam 110 juta saham biasa baharu, mewakili 20% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 34.5 juta saham sedia ada, atau 6.3% daripada modal saham yang diperbesarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.


 
Daripada 110 juta saham baharu, 27.5 juta akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian.

 

Sejumlah 19.3 juta saham lain diperuntukkan untuk pengarah dan pekerja yang layak serta mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu), manakala baki 63.2 juta saham dikhaskan untuk pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Kawan Renergy menyasarkan untuk mengumpul RM33 juta daripada IPO. - DagangNews.com