TA Securities saran pelabur jual saham Rexit dengan harga sasaran 93 sen sesaham selepas kemunculan pemegang saham besar baharu cetus MGO | DagangNews Skip to main content

TA Securities saran pelabur jual saham Rexit dengan harga sasaran 93 sen sesaham selepas kemunculan pemegang saham besar baharu cetus MGO

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - TA Securities menyarankan pelabur menjual saham Rexit Berhad dengan harga sasaran (TP) kekal pada 93 sen sesaham selepas kemunculan pemegang saham besar mencetus tawaran am mandatori (MGO) semalam.

 

Rexit, yang merupakan rakan kongsi perisian-sebagai-perkhidmatan utama kepada syarikat insurans dan unit amanah, adalah antara saham untung tertinggi pagi ini berikutan lonjakan harga sebanyak 30 sen atau 33% kepada RM1.20.

 

 

rexit

 

 

Datuk Seow Gim Shen, Metaco Asset Holdings Sdn Bhd (Metaco), dan Bemas Holdings Sdn Bhd (Bemas) telah memperoleh sejumlah 92.3 juta saham biasa dalam Rexit, iaitu 53% kepentingan bernilai RM78.4 juta atau 85 sen sesaham, menerusi urus niaga perniagaan langsung.

 

Pegangan saham tersebut adalah jumlah saham terbitan daripada tiga pemegang saham sedia ada iaitu Rexit Ventures Sdn Bhd, Global Hartabumi Sdn Bhd, dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Datuk Chung Hon Cheong.

 

Kemunculan pemegang saham besar baharu telah mencetus MGO untuk memperoleh semua baki saham pada pertimbangan tunai 85 sesaham.

 

Tawaran tidak bersyarat pada mana-mana tahap minimum penerimaan saham tawaran. Sementara itu, penawar bersama berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Rexit.

 

Seow ialah pengerusi dan pengarah beberapa syarikat perkhidmatan teknologi dan perisian maklumat, termasuk Titan Pharmaceuticals, syarikat tersenarai di bursa saham NASDAQ.

 

Metaco pula merupakan syarikat pemegangan pelaburan dengan pengarah dan pemegang saham besarnya ialah Kong Chien Hoi, Leow Kian Yong dan Chan Chau Loong.

 

Sementara itu, Bemas juga merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang dikawal oleh Chung Ching Chi.

 

Setakat pukul 11:36 pagi ini, saham Rexit didagangkan pada 98.5 sen, naik 6.5 sen atau 7.1% dengan permodalan pasaran bernilai RM186.6 juta. - DagangNews.com