TA Securities semak naik unjuran pendapatan Kim Loong sebanyak 12.7% pada FY25 | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak naik unjuran pendapatan Kim Loong sebanyak 12.7% pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - TA Securities menyemak naik unjuran pendapatan Kim Loong Resources Bhd bagi FY25 sebanyak 12.7% selaras dengan andaian pertumbuhan buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi.

 

Selepas mencatatkan pertumbuhan 15% dari segi pengeluaran BTS pada FY24, pengurusan menjangkakan penuaian meningkat sebanyak 5% pada FY25 dengan mengambil kira profil umur yang lebih baik dengan kawasan produktif sawit muda dan program penanaman semula yang berterusan.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan untuk menanam semula kira-kira 1,000 hektar pada FY25.

 

"Sementara itu, bagi operasi pengilangan minyak sawit mentah (MSM), jumlah kuantiti pemprosesan dijangka sekitar 1.6 juta tan BTS.

 

"Pengurusan menjangkakan purata harga MSM kekal sekitar RM4,000 bagi setiap tan pada FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih bagi 4QFY24 kumpulan turun 32.09% kepada RM24.87 juta, daripada RM36.61 juta setahun lalu, berikutan harga MSM yang lebih lemah.

 

Ini merupakan pendapatan suku tahunan paling lemah dalam tiga tahun sejak 4QFY21 apabila ia menghasilkan keuntungan bersih RM10 juta.

 

Bagi tahun penuh, untung bersih susut 8.97% kepada RM147.71 juta daripada RM162.26 juta setahun sebelumnya, berikutan hasil tahun penuh susut 20.02% kepada RM1.53 bilion daripada RM1.91 juta.

 

Firma penyelidikan itu menyemah naik penarafan kumpulan lepada 'beli' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM2.50 berbanding RM2.25 sesaham.- DagangNews.com