TA Securities semak turun unjuran pendapatan Poh Huat bagi FY24 sebanyak 11.4% | DagangNews Skip to main content

TA Securities semak turun unjuran pendapatan Poh Huat bagi FY24 sebanyak 11.4%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jun - TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan Poh Huat Resources Holdings Bhd pada FY24 sebanyak 11.4% kesan daripada kadar penggunaan yang rendah bagi kilang kumpulan itu di Vietnam.

 

Katanya, untung teras kumpulan itu pada separuh pertama tahun ini sebanyak RM15.6 juta adalah di bawah jangkaan dan mencapai hanya 34% serta 38.9% daripada anggaran dan konsensus tahun penuh.

 

"Perbezaan ini disebabkan terutamanya oleh sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan daripada operasi Vietnam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras kumpulan itu pada separuh pertama 2024 menyusut sebanyak 5.7% kepada RM15.6 juta walaupun hasil kumpulan itu meningkat sebanyak 11.5% kepada RM239.5 juta.

 

Katanya, keuntungan yang lebih lemah disebabkan oleh kos operasi yang lebih tinggi dan pesanan jualan perabot rumah yang lebih rendah dalam operasi Vietnam. 

 

"Sementara itu, pertumbuhan hasil didorong terutamanya oleh pemulihan beransur-ansur permintaan untuk perabot pejabat," katanya.

 

TA Securities menjangkakan pasaran perabot di Amerika Syarikat (AS) akan pulih walaupun pada kadar yang lebih perlahan.

 

Katanya, kitaran kenaikan faedah di AS akhirnya mungkin berakhir berikutan penurunan inflasi. 

 

"Berdasarkan panduan terbaru Fed, pemotongan kadar pertama boleh berlaku pada penghujung 2024. Ini boleh membantu memulihkan pasaran perumahan AS," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.50 sesaham.- DagangNews.com