Tabung Haji beli bangunan berharga lebih RM1 bilion di London | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji beli bangunan berharga lebih RM1 bilion di London

Bangunan Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria di London
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan satu lagi pelaburannya dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan di kota raya London pada 12 Julai lalu.

 

Menurut TH, pembelian bangunan berstatus pegangan bebas (freehold) ini adalah tambahan kepada senarai pelaburan TH yang mempunyai portfolio hartanah di United Kingdom (UK) sejak tahun 2012. 

 

Kenyataan media Tabung Haji tidak pula menyatakan jumlah pembelian tetapi berdasarkan laporan firma hartanah UK, bangunan itu dijual pada harga £247.5 juta iaitu kira-kira RM1.32 bilion.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata hartanah ini merupakan pejabat kerajaan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom. 

 

“Pemilikan hartanah tersebut akan memberikan pulangan jangka panjang yang baik kepada TH kerana:-
1. Kontrak sewaan yang panjang.
2. Kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa.
3. Kadar sewaan yang menaik setiap tahun; dan
4. Nilai pasaran yang stabil.

 

“Ia juga selaras dengan objektif pelaburan TH, untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya lagi, bangunan pejabat enam tingkat berkeluasan 179,869 meter persegi dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria itu terletak 
di lokasi strategik di daerah perniagaan terbesar di West End London dan merupakan hab komersial yang berkembang pesat ketika ini dan pada masa hadapan.

 

Victoria juga menempatkan banyak pejabat kerajaan dan sektor awam kerana lokasinya yang berdekatan dengan bangunan Parlimen di samping akses mudah kepada semua pengangkutan awam utama termasuk stesen keretapi awam bawah tanah Pimlico, Westminster dan Victoria, serta laluan-laluan utama lain.

 

Menurut TH lagi, London masih merupakan hab kewangan yang menarik banyak peluang perniagaan semasa dan untuk jangkamasa panjang, justeru amat baik untuk pasaran hartanah.

 

TH sentiasa berhati-hati dalam membuat sebarang pelaburan hartanah bagi memastikan ia memberi:-
(i) Pulangan segera untuk menampung kos haji tahunan dan agihan keuntungan tahunan; dan
(ii) Pulangan jangka panjang yang stabil dan selamat bagi kesinambungan Tabung Haji dan pendepositnya.

 

TH memperuntukkan kira-kira 11% daripada RM88 billion dana miliknya untuk pelaburan dalam sektor hartanah di dalam dan di luar negara.

 

“TH kini giat meninjau peluang meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah luar negara dalam usaha mempelbagaikan portfolio pelaburan kerana ia dikenal pasti sebagai langkah terbaik untuk memperoleh pulangan kompetitif dan konsisten untuk 8.5 juta pendeposit TH,” jelas beliau. - DagangNews.com