KUALA LUMPUR 21 Feb - Standard Chartered Saadiq Berhad (Standard Chartered Saadiq) dilantik sebagai ejen kutipan Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu, bermula 15 Januari lalu.
Kerjasama itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 juta pendeposit TH khususnya yang mempunyai akaun di Standard Chartered Saadiq.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, lantikan tersebut pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara.
"Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80% transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, ATM dan CDM serta perbankan internet bank-bank rakan strategik TH yang lain.
"Pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan Standard Chartered Saadiq,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq, Mohd Suhaimi Abdul Hamid pula berkata, pihaknya sering berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan penggunaan digital dalam kalangan pelanggan mereka.
"Kami yakin kolaborasi melalui digital bersama TH ini akan memberikan nilai tambah dan kemudahan perbankan kepada semua pelanggan muslim TH dan bank, di mana jua mereka berada, sama ada di Malaysia atau luar negara.
“Kami juga akan menambahkan penawaran digital, seiring dengan usaha kami untuk memperkukuhkan posisi Standard Chartered Saadiq sebagai Bank Islamik Digital terbaik di Malaysia seperti yang dianugerahkan oleh Digital CX Awards 2021 dan juga Global Finance untuk tiga tahun berturut-turut,” katanya.
Menerusi lantikan itu, para pendeposit TH yang juga pelanggan Standard Chartered Saadiq boleh membuat deposit ke akaun simpanan TH sendiri atau pihak ketiga melalui portal internet bank tersebut.
Inisiatif ini akan memudahkan pelanggan kedua-dua organisasi untuk melakukan deposit ke akaun simpanan TH tanpa perlu hadir ke kaunter cawangan TH.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rakan strategik terkini TH atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian THCC di 03-6207 1919. - DagangNews.com