TAFI bangunkan 5 projek di Kuantan dengan GDV RM621.5 juta | DagangNews Skip to main content

TAFI bangunkan 5 projek di Kuantan dengan GDV RM621.5 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - TAFI Industries Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gerak Mahir Sdn. Bhd. memeterai 5 perjanjian usaha sama membabitkan projek pembangunan hartanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM621.5 juta.

 

Kesemua perjanjian itu membabitkan projek pembangunan secara usaha sama di Kuantan, Pahang, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

TAFI berkata, perjanjian usaha sama dengan Pembinaan Alamku Sdn. Bhd. melibatkan 2 projek pembangunan bercampur iaitu di Chendor dengan GDV dianggarkan RM142.9 juta dan Kampung Baging, Mukim Sungai Karang dengan GDV RM148.4 juta.

 

Bagi projek Melati di Mukim Penor pula mempunyai anggaran GDV RM121.1 juta dibangunkan dengan usaha sama Pembinaan I-One Sdn. Bhd.

 

Kumpulan juga menjalin perjanjian dengan Kotamas Development (M) Sdn. Bhd. melibatkan GDV RM31.3 juta bagi projek pembangunan bercampur di Batu 14, Jalan Kuantan-Gambang, Mukim Kuala Kuantan.

 

Selain itu, ia turut melibatkan projek pembangunan di Bukit Pelindung, Mukim Kuala Kuantan dengan Fajar Sdn. Bhd. yang mempunyai anggaran GDV RM177.8 juta. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Wong Sze Chien berkata, perjanjian usaha sama itu membuktikan penglibatan kumpulan secara meluas dalam segmen pembangunan hartanah. 

 

"Perolehan daripada segmen ini dijangka menyumbang kepada kumpulan pada 2022 menerusi projek pembangunan bercampur di Habu, Cameron Highlands yang mempunyai anggaran GDV RM390 juta," katanya. 

 

TAFI secara dasarnya terlibat dalam pengeluaran perabut untuk pasaran tempatan dan eksport di samping mempelbagaikan penglibatannya menerusi perniagaan berkaitan pembangunan hartanah dan pembinaan. - DagangNews.com