TAFI Industries jual kilang di Muar berharga RM12 juta dalam usaha jimat kos | DagangNews Skip to main content

TAFI Industries jual kilang di Muar berharga RM12 juta dalam usaha jimat kos

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 7 Jun - TAFI Industries Bhd melupuskan satu daripada premis industrinya di Muar, Johor, kepada Comfy Factor Sdn Bhd dan NNST Capital Sdn Bhd dengan harga RM12 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TAFI berkata premis itu terdiri daripada sebuah kilang berkembar satu tingkat dengan pejabat tiga tingkat dan rumah pengawal.

 

Kilang berkembar satu tingkat itu digunakan terutamanya untuk pembuatan perabot.

 

Kumpulan TAFI telah memutuskan untuk melupuskan hartanah tersebut kerana ia akan menjadi lebih menjimatkan dan kos cekap untuk mensubkontrakkan proses pembuatan tertentu yang mempunyai permintaan yang rendah.

 

"Pelupusan hartanah tersebut tidak akan menjejaskan kapasiti pengeluaran perabot kumpulan, yang kebanyakannya dijalankan di kilang utama Kumpulan TAFI dengan memusatkan kawalan pembuatan dalam satu kilang."

 

Syarikat itu menambah, pelupusan kilang itu akan memperoleh keuntungan selepas cukai keuntungan hartanah sebanyak RM8.1 juta dan akan menyumbang secara positif kepada aliran tunai dan kedudukan modal kerjanya.

 

 

Tafi, Datuk Seri Bryan Wong
                      Datuk Seri Bryan Wong

 

 

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong berkata keputusan untuk melupuskan kilang itu adalah sebahagian daripada strategi pengurusan untuk memperkemas dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan kumpulan itu.

 

“Kumpulan TAFI terus untung selama tiga tahun kewangan berturut-turut sejak tahun kewangan 2021,” katanya. - DagangNews.com