Tafi, OMG perkukuh kerjasama bekalkan kelengkapan, produk berkaitan perabot | DagangNews Skip to main content

Tafi, OMG perkukuh kerjasama bekalkan kelengkapan, produk berkaitan perabot

KUALA LUMPUR 17 Dis - Tafi Industries Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, T.A. Furniture Industries Sdn. Bhd. (TAFISB) akan membekalkan kelengkapan dan produk berkaitan perabot kepada OMG Free Reno Sdn. Bhd. (OMG).

 

Ini menyaksikan kedua-dua syarikat memeterai perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara kumpulan Tafi dan OMG, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kekuatan kumpulan Tafi terletak pada jenama TA yang terkenal dalam perabot rumah dan pejabat berasaskan sistem panel kayu, yang mengkhusus dalam reka bentuk ergonomik dan moden untuk perabot rumah dan pejabat.

 

Platform berasaskan aplikasi mudah alih OMG pula membawa sinergi teknik pengubahsuaian dan revolusi inovatif kepada pengubahsuaian rumah.

 

Sehubungan itu, kerjasama tersebut boleh menambah nilai untuk pemilik rumah yang mempunyai keupayaan kewangan dan fleksibiliti untuk peningkatan hartanah mereka melalui platform OMG.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tafi, Datuk Seri Bryan Wong berkata, sehingga kini kumpulan merekodkan jualan perabot, kelengkapan dan produk berkaitan serta aksesori kepada OMG berjumlah RM2.3 juta. 

 

"Potensi pertumbuhan adalah sangat menggalakkan dan kami yakin kerjasama ini akan meningkatkan lagi bahagian pasaran tempatan kami bagi bekalan perabot," katanya. 

 

Kerjasama antara Tafi dan OMG bermula sejak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 25 Ogos 2021.

 

Ia menerima hasil positif dan sambutan menggalakkan daripada pemilik kediaman sekali gus memberi keyakinan kepada kedua-dua pihak untuk memeterai perjanjian bagi meningkatkan lagi kerjasama kumpulan Tafi dalam membekalkan kelengkapan dan produk berkaitan perabot kepada OMG.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan OMG, Lilian Chan berkata, platform langganan berasaskan dalam talian, OMG Free Reno untuk perabot rumah dan pengubahsuaian membolehkan pelanggan melakukan ubah suai lengkap hartanah mereka dengan yuran langganan bulanan bermula daripada serendah RM499 untuk tempoh 48 bulan. 

 

"Kami optimis untuk merekodkan pendapatan sebanyak RM200 juta dalam tempoh 3 tahun menerusi kerjasama dengan Tafi bagi pembekalan perabot rumah dengan reka bentuk berkualiti ergonomik dan moden," katanya. -DagangNews.com