Tahap pengangguran masih membimbangkan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Tahap pengangguran masih membimbangkan - Penganalisis

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Kadar pengangguran pada Disember dijangka kekal tinggi dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan. 

 

Jabatan Perangkaan semalam mengeluarkan statistik tenaga buruh pada November yang menyaksikan kadar pengangguran pada November meningkat kepada 4.8% berbanding 4.7% pada Oktober. 

 

AmBank Research menjangkakan, kadar pengangguran akan mencecah sekitar 4.9 hingga 5% pada akhir tahun 2020 walaupun terdapat kemungkinan ia akan stabil sekitar 4.7%. 

 

Keputusan kerajaan melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menyaksikan ekonomi beroperasi di bawah kawalan SOP yang ketat. 

 

"Tetapi dalam masa sama, ia juga memberi kesan kepada pasaran buruh pada November apabila lebih ramai hilang pekerjaan dan berada di luar pasaran buruh.

 

"Tekanan secara berterusan dalam aktiviti ekonomi disebabkan ketidaktentuan yang melingkari situasi pandemik ketika ini dan juga pengurusan vaksin COVID-19, akan menyaksikan pasaran buruh kekal berdepan cabaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, November 2020 menyaksikan trend penurunan kecil dalam bilangan guna tenaga, manakala kadar pengangguran meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya. 

 

Antara lain, katanya, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan dan pembatalan atau pembekuan pengambilan pekerja baharu. 

 

Pada November, penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan berjumlah 83.4%, meningkat 2.3% mencatatkan sejumlah 637,700 (Oktober 2020: 623,100).

 

Dalam masa sama, kerajaan juga akan menguatkuasakan semula PKP di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai tengah malam 13 hingga 26 Januari yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.

 

Sementara itu, PKP Bersyarat (PKPB) akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bagi tempoh yang sama manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

 

Sementara itu, UOB Global and Market Research dalam nota kajian berkata, pasaran buruh dalam tempoh terdekat kekal malap memandangkan gelombang ketiga COVID-19 berpanjangan sehingga Januari 2021. 

 

Dalam usaha mengekang wabak itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di 6 negeri, yang dilihat akan memperlahankan pemulihan ekonomi dan pasaran buruh. 

 

"Kesan ini bergantung kepada sejauh mana SOP baharu diperluaskan, tempoh masa dan liputan dalam pelaksanaan ini," katanya. 

 

Dengan mengambil kira peningkatan kadar pengangguran, firma penyelidikan itu menyemak semula kada pengangguran bagi 2020 kepada 4.9% berbanding 4.5% sebelum itu manakala bagi 2021 pula, 4% (berbanding 3.7% sebelum itu). 

 

MIDF Research pula berkata, aktiviti ekonomi yang lemah akan menyaksikan sekali lagi langkah rasionalisasi termasuk dari segi pengambilan pekerja apabila syarikat bergelut dengan masalah kewangan bagi mengekalkan operasi. 

 

Keadaan ini, katanya, pasti akan memberi kesan kepada pemulihan dalam pasaran buruh setelah kadar pengangguran melonjak 5.3% pada Mei lalu. 

 

"Pengangguran yang dijangka meningkat dalam sektor tidak penting dan pengurangan aktiviti di restoran, misalnya adalah tinggi. 

 

"Ini sudah tentu menyebabkan pasaran buruh semakin lemah dan pendapatan rendah akan memberi kesan kepada aktiviti penggunaan sekali gus mengheret turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 0.8 mata peratusan," katanya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, situasi itu akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih perlahan pada tahun ini dengan kadar 6.2% tahun ke tahun berbanding unjuran 7%. - DagangNews.com