TAJ International College jalin kerjasama dengan dua universiti jadi pusat pembelajaran sepanjang hayat | DagangNews Skip to main content

TAJ International College jalin kerjasama dengan dua universiti jadi pusat pembelajaran sepanjang hayat

Tina bersama Naib Canselor DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia, Professor Dato’ Omar Osman semasa memeterai memorandum persefahaman di Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 1 Julai - Faktor kos menyambung pengajian yang tinggi termasuk penginapan, pengangkutan dan sara diri antara yang membelenggu ibu bapa terutamanya kelompok B40.

 

Bagaimana pun, kepentingan untuk mendapatkan pendidikan perlu diutamakan sebagai jambatan membina kerjaya pada masa hadapan.

 

Atas sebab itu, TAJ International College (TIC) meletakkan kedudukan sebagai pusat pengajian pilihan bagi pelajar di bandar raya ini dan daerah berhampiran.

 

Selain akademik TIC juga menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

 

TIC
Selain akademik TIC turut menawarkan pengajian dalam bidang TVET kepada lepasan SPM.

 

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Syarikat TT, Tina Tajuddin berkata, misi TIC ialah untuk memenuhi keperluan masa hadapan dan pada masa memperkasa kebolehan pelajar.

 

Katanya, TIC baru memeterai kerjasama dengan DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia, Pahang dan Universiti Geomatika Malaysia, Kuala Lumpur.

 

“TIC telah dilantik sebagai pusat pembelajaran satelit bagi 2 universiti tersebut yang mana kita boleh menawarkan program pengajian secara online.

 

“DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia misalnya mempunyai 8 program pengajian secara jarak jauh (open distance learning - ODL). Kita boleh membawa kursus tersebut ke sini.

 

“Kita dilantik sebagai pusat rujukan yang mana pelajar di negeri ini tidak perlu ke sana.

 

TIC
Naib Presiden Kumpulan Universiti Geomatika Malaysia, Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose menandatangani plak selepas memeterai memorandum persefahaman dengan TIC.

 

“Bagi Universiti Geomatika Malaysia, TIC dilantik sebagai pusat program Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL),” ujarnya.

 

APEL dapat mengiktiraf pengalaman pekerja untuk melanjutkan pelajaran di semua peringkat pendidikan tinggi.

 

Menerusi kerjasama ini memberi peluang kepada golongan yang tiada peluang belajar khususnya pekerja menyambung pengajian.

 

Laluan pembelajaran sepanjang hayat ini merupakan alternatif khususnya kepada golongan tercicir pendidikan.

 

TIC

 

TIC

 

Jelas Tina lagi, kursus-kursus baharu menerusi program kerjasama tersebut antara usaha TIC untuk menjadi platform pendidikan utama di Ipoh.

 

“Lepasan SPM boleh belajar tanpa perlu meninggalkan keluarga sekali gus membantu menangani kos sara hidup dan beban kos pengajian tinggi. 

 

“Bagi sesetengah keluarga mereka tidak mahu menghantar anak belajar jauh atas faktor-faktor tertentu.

 

“Pada masa sama pelajar TIC boleh terlibat dalam program belajar dan bekerja (learn and earn) yang telah kita lancarkan bagi mencari sumber kewangan sendiri secara sambilan,” ujarnya. - DagangNews.com