Anak syarikat Uzma dapat projek di Thailand bernilai RM19 juta | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat Uzma dapat projek di Thailand bernilai RM19 juta

Anak syarikat Uzma, MMSVS Group Holding Co. Ltd. Thailand meraih kontrak daripada PTTEP Energy Development Company Limited di Teluk Siam. -Gambar hiasan Uzma
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Julai - Uzma Berhad menerusi anak syarikatnya, MMSVS Group Holding Co. Ltd. Thailand (MMSVS) meraih kontrak berkaitan kerja-kerja penggerudian minyak daripada PTTEP Energy Development Company Limited di Teluk Siam bernilai kira-kira RM19 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Uzma berkata, kontrak berkenaan untuk tempoh setahun bermula dari 16 Julai 2024 sehingga 15 Julai 2025.

 

"MMSVS Group Holding Co. Ltd. Thailand (MMSVS), subsidiari asing Syarikat telah menerima kontrak daripada PTTEP Energy Development Company Limited (PTTEP) untuk Perkhidmatan Penyediaan Telaga Pengisi untuk Menyokong Penggerudian G1/61 (Kontrak).

 

"Kelulusan untuk pengeluaran pengumuman ini diperoleh daripada PTTEP pada 23 Julai 2024," katanya hari ini.

 

Kata Uzma, skop kerja terdiri daripada penyediaan peralatan dan perkhidmatan unit kerja hidraulik (HWU), untuk menjalankan operasi Penyediaan Telaga Infill untuk sehingga enam platform luar pesisir PTTEP di Teluk Siam.

 

Jelasnya, nilai kontrak adalah kira-kira RM19 juta sahaja sepanjang anggaran tempoh kontrak.

 

"Faktor risiko yang berpotensi termasuk risiko operasi dan pelaksanaan projek, jadual kerja, garis masa penghantaran dan keadaan cuaca buruk," ujarnya.

 

Menurut Uzma, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.- DagangNews.com