Tak sampai 5 bulan, pelabur runcit 'sapu bersih' RM5.5 bilion ekuiti | DagangNews Skip to main content

Tak sampai 5 bulan, pelabur runcit 'sapu bersih' RM5.5 bilion ekuiti

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Jualan ekuiti tempatan oleh pelabur asing semakin meningkat bagi minggu berakhir 16 April, berjumlah RM235.26 juta. 

 

Menurut MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan, aliran keluar itu lebih tinggi berbanding 2 minggu lalu. 

 

Bagi minggu berakhir 9 April, sebanyak RM77.9 juta ekuiti dijual pelabur asing. 

 

"Apabila pasaran dibuka Isnin lalu, pelabur asing menjual RM48.67 juta ekuiti. Malah, mereka menjual bersih ekuiti setiap hari kecuali Khamis, yang mencatat aliran masuk sebanyak RM78.58 juta.

 

"Aliran keluar paling tinggi direkodkan pada Selasa berjumlah RM39 juta manakala paling rendah pada Jumaat, RM50.89 juta," katanya hari ini.

 

Bagi pelabur runcit dan institusi pula, masing-masing menjadi pembeli dan penjual bersih pada kadar RM60.81 juta dan RM12.41 juta. 

 

Pelabur runcit membeli ekuiti setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat dengan pembelian terbesar pada Isnin sebanyak RM60.81 juta manakala terendah direkodkan pada Selasa, RM35 juta. 

 

"Secara keseluruhan, pelabur runcit membeli RM97.82 juta ekuiti di bursa tempatan sepanjang minggu lalu," tambahnya.

 

Sementara itu, aliran masuk terkumpul bagi pelabur institusi pula berjumlah RM137.45 juta. Pelabur institusi membeli paling banyak pada Selasa sebanyak RM126.52 juta manakala paling rendah pada Rabu, RM16.65 juta. 

 

Jualan paling besar pula direkodkan pada Khamis sebanyak RM61.28 juta, menurut laporan firma itu.

 

Menurut MIDF Research, sejak awal tahun ini, pelabur runcit muncul satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan mencecah RM5.5 bilion. 

 

"Pelabur institusi dan asing pula masing-masing menjual ekuiti tempatan berjumlah RM3.5 bilion dan RM2 bilion," katanya. 

 

Dari segi penyertaan pelabur pula didapati pelabur runcit, institusi dan asing masing-masing merekodkan peningkatan mingguan pada 7.53%, 19.43% dan 4.68% bagi nilai dagangan purata harian (ADTV) - DagangNews.com