Takaful Malaysia, Bank Muamalat jalin kerjasama strategik bancatakaful | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia, Bank Muamalat jalin kerjasama strategik bancatakaful

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, menjalin kerjasama bancatakaful dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

 

Melalui kerjasama itu, Takaful Malaysia dapat mengakses pelanggan, rangkaian cawangan dan pemasaran Bank Muamalat, sekali gus mempelbagaikan tawaran produk bank terbabit untuk memberi nilai lebih besar kepada pelanggan.   

                 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen syarikat itu untuk bekerjasama melalui gabungan kepakaran dalam menawarkan rumusan kewangan yang menyeluruh.

 

 

Nor Azman Zainal
Nor Azman Zainal

 

 

“Melalui perkongsian strategik ini, pelanggan Bank Muamalat akan mendapat akses kepada rangkaian produk takaful keluarga kami yang komprehensif dan mampu milik, merangkumi produk berkaitan kredit, perancangan kewangan dan produk takaful am.

 

“Kerjasama ini adalah tepat pada masanya untuk mengukuhkan lagi portfolio bancatakaful kami sebagai salah satu pemacu perniagaan utama dan mengekalkan kedudukan dalam industri insurans dan takaful,” katanya dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

 

Nor Azman menambah bahawa kerjasama itu juga langkah strategik untuk menembusi segmen runcit dengan lebih jauh sambil mengekalkan kedudukan dalam perniagaan berkaitan kredit.

 

Perkongsian bancatakaful antara Takaful Malaysia dan Bank Muamalat menandakan komitmen dua institusi kewangan Islam untuk memenuhi keperluan yang pelbagai dan menyediakan jaminan kewangan kepada pelanggan Bank Muamalat menerusi pelbagai produk perlindungan yang diuruskan oleh Takaful Malaysia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata kerjasama bancatakaful tersebut menandakan satu langkah penting ke arah matlamat untuk menjadi bank Islam terbaik di Malaysia, di samping mengukuhkan kedudukan bank yang menawarkan perbankan Islam untuk semua.

 

 

Khairul Kamarudin
Khairul Kamarudin

 

 

“Melalui usaha sama dengan Takaful Malaysia, kami bukan sahaja mempelbagaikan tawaran produk, tetapi juga mengukuhkan komitmen terhadap keterangkuman kewangan, memastikan setiap pelanggan dalam pangkalan pelanggan yang pelbagai boleh mengakses produk perlindungan yang menyeluruh.

 

“Bersama-sama, kami selangkah lebih dekat dalam merealisasikan visi untuk menjadi institusi kewangan terkemuka dan paling inklusif dalam landskap perbankan Islam,” tambahnya. - DagangNews.com