Takaful Malaysia, Bank Rakyat perkukuh kerjasama strategik bancatakaful | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia, Bank Rakyat perkukuh kerjasama strategik bancatakaful

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mengumumkan lanjutan kerjasama bancatakaful dengan Bank Rakyat, untuk mempromosi dan memasarkan produk takaful keluarga.

 

Selain itu, Bank Rakyat melalui pelbagai saluran pengedarannya akan mempromosi dan memasarkan produk Takaful Malaysia kepada para pelanggannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, kerjasama strategik dengan Bank Rakyat selama ini memacu perniagaan yang mampan. 

 

Katanya, kerjasama berterusan dengan Bank Rakyat adalah bukti aspirasi pihaknya untuk memberikan nilai kepada para pelanggan bank. 

 

"Kami akan terus meningkatkan kesejahteraan kewangan para pelanggan dengan menawarkan akses kepada rangkaian produk perlindungan yang komprehensif dan mampu milik serta mengukuhkan perniagaan perancangan kewangan takaful keluarga. 

 

"Kerjasama bancatakaful ini menjadi landasan penting dalam usaha kami untuk membantu para pelanggan Bank Rakyat mencapai matlamat kewangan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Nor Azman, gabungan kepakaran dengan Bank Rakyat mewujudkan sinergi untuk memperkukuh portfolio perniagaan mereka dalam segmen runcit untuk rangkaian produk takaful keluarga dan simpanan yang komprehensif dan mampu milik serta kedudukan utuh dalam perniagaan berkaitan kredit. 

 

 

takaful
Nor Azman Zainal

 

 

Katanya, kerjasama tersebut mencerminkan dedikasi kedua-dua belah pihak untuk memberikan perkhidmatan kewangan yang terbaik dan memantapkan kedudukan mereka sebagai peneraju dalam landskap industri perkhidmatan kewangan Islam yang berkembang pesat. 

 

"Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia dan Bank Rakyat akan kekal fokus untuk memenuhi keperluan para pelanggan dengan menawarkan rumusan perlindungan yang berpatutan dan komprehensif. 

 

"Kami teruja dengan kerjasama ini dan berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kami dengan Bank Rakyat," katanya. - DagangNews.com